
TAWAU: Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) merampas jentera yang digunakan dalam aktiviti mengorek pasir sungai secara haram di Sungai Kampung Brantian, Kalabakan, di sini, pada Khamis lalu.
Pengarahnya, Datuk Sr Bernard Liew Chau Min memaklumkan, satu pasukan unit penguatkuasa menyerbu tapak tersebut pada pukul 8.20 pagi selepas menerima maklumat dan risikan daripada agensi kerajaan yang berkenaan.
“Pasukan penguatkuasa kami merampas sebuah jentera kaut FX-200 dan sebuah mesin penyedut pasir (pontoon). Bagaimanapun, tiada tahanan dibuat kerana pekerja terlibat berjaya melarikan diri.
“Pihak kami telah membuat satu laporan polis, dan kertas siasatan akan dibuka sebaik semua maklumat yang perlu diperolehi.
“Tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan-peruntukan dalam Ordinan Tanah Sabah, Bab 68,” katanya.
Bernard berkata pengusaha yang terlibat mengorek dan mengambil pasir di kawasan sungai itu tidak mendapat sebarang kebenaran dan lesen untuk menjalankan aktiviti sebegitu di tapak tersebut.
“Pasukan penguatkuasa jabatan ini akan terus memantau aktiviti pengambilan tanah / pasir / batu secara haram di seluruh Sabah.
“Kami tidak akan teragak–agak untuk mengambil tindakan terhadap mana–mana pengusaha yang didapati melanggar undang–undang,” tambahnya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
