Aktiviti Kumpulan Pengganas: Suri Rumah, Penggangur Antara 8 Suspek Ditahan

LocalPolitics
24 Jun 2024 • 8:55 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kumpulan pengganas seperti IS dan Daesh tidak akan teragak-agak membunuh sesiapa sahaja yang menentang aktiviti mereka - Gambar X

MPUTRAJAYA - Polis menahan lapan suspek terkait dengan elemen radikalisme Daesh dan Islamic State (IS) dalam satu operasi di empat buah negeri pada 22 dan 23 Jun lepas.

Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal polis terhadap kesemua suspek mendapati wujud ancaman terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; orang kenamaan dan pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“PDRM melalui Cawangan Khas berjaya mematahkan ancaman mengandungi elemen ekstremisme, radikalisme dan keganasan di Malaysia.

“Penahanan enam lelaki dan dua wanita yang disyaki terkait dengan elemen radikalisme Daesh dan IS adalah tangkapan susulan daripada operasi sebelumnya pada 15, 17 dan 30 Mei lalu,” katanya.

image is not available
Saifuddin Nasution Ismail - Gambar fail

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kesemua suspek yang ditahan mempunyai latar belakang berbeza seperti penganggur, suri rumah dan golongan profesional yang terpelajar.

Justeru, beliau menggesa semua pihak berkerjasama menggembeleng usaha menangani ancaman yang boleh menggugat perpaduan dan keamanan negara.

“Kerajaan Malaysia bertegas bahawa tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang menjadi penghasut, pelaku, penyokong dan pemberi simpati buat elemen ekstremisme, radikalisme dan keganasan di negara ini. 

“Pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang paling berat ke atas golongan ini,” tegasnya. 

Dalam masa sama, Saifuddin memberi jaminan, masyarakat umum tidak perlu gusar terhadap tahap keselamatan dan ketenteraman awam di Malaysia.

“Pihak berkuasa sentiasa memastikan kawalan keselamatan berada di tahap terbaik,” katanya. - Getaran, 24 Jun 2024