KAMPAR - Tidak pernah diserbu sejak beroperasi dua tahun lalu, aktiviti memproses pasir silika tanpa kelulusan di sebuah premis di daerah ini terbongkar dalam Op Bersepadu Khazanah pada Khamis.
Serbuan dijalankan Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Perak serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh berkata, operasi dijalankan hasil risikan terhadap sebuah lokasi yang dipercayai menjalankan aktiviti pemprosesan pasir silika tanpa lesen.
"Hasil siasatan awal mendapati premis tersebut telah beroperasi sejak tahun 2024 dan tidak pernah diserbu sebelum ini.
**media[3515049]**
"Fasiliti di lokasi digunakan khusus untuk memproses pasir silika sebelum disimpan dan dieksport ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Balveer Singh berkata, bekalan pasir yang ditemui dipercayai diperoleh dari sebuah tapak projek perumahan di sekitar Ipoh.
Katanya, pemeriksaan PTG Perak terhadap dua lori yang membawa muatan pasir turut mendapati kedua-dua pemandu gagal mengemukakan dokumen pemindahan mineral berkaitan.
Menurutnya, tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun yang dipercayai pemilik premis dan pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut merampas pelbagai mesin, jentera dan peralatan memproses pasir silika selain longgokan pasir dianggarkan seberat 5,000 tan serta 500 beg jumbo mengandungi mineral jenis amang dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM7.25 juta.
**media[3515048]**
Menurut beliau, siasatan bagi kesalahan memproses pasir silika tanpa lesen dijalankan JMG mengikut Peraturan 6(4), Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Pelesenan) 2016.
Katanya, kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Bagi kesalahan memindahkan pasir tanpa kelulusan pula, kes disiasat PTG Perak di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau menegaskan Briged Utara PGA akan terus mempergiat usaha risikan dan penguatkuasaan terhadap sebarang aktiviti pemprosesan mineral tanpa kelulusan sah kerana boleh mendatangkan risiko serius terhadap alam sekitar serta keselamatan awam.
