
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Harus diakui, proses melahirkan anak bukanlah satu perkara yang mudah. Si ibu terpaksa menanggung kesakitan hingga berjam-jam lamanya sebelum seorang insan dikeluarkan daripada perut.
Sudah pastilah proses ini amat memenatkan apatah lagi banyak tenaga telah habis digunakan sewaktu proses tersebut.
Malah, ia akan menjadi lebih mencabar termasuk penulis sendiri sekiranya si kecil meragam dan tidak mahu tidur hingga boleh buntu dibuatnya.
Namun, itu bukanlah menjadi satu masalah jika ada yang dapat membantu meringankan seketika beban yang ditanggung oleh kebanyakan ibu.
Jururawat Tolong Jaga Bayi Yang Tak Nak Tidur & Asyik Menangis
Baru-baru ini, tular di media sosial layanan baik seorang jururawat yang bertugas di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Hospital Duchess of Kent, Sandakan, Sabah terhadap seorang pesakit.
Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh pesakit wanita itu di Threads, dia mendedahkan pengalamannya mendapat layanan baik dari jururawat itu yang membantu menjagakan bayi kecilnya.
Kongsi pengguna yang dikenali sebagai Anis, anaknya itu menangis dan tidak mahu melelapkan mata.
Namun, jururawat berkenaan dengan rela hati menghulurkan bantuan untuk menjaga bayinya dan meminta Anis untuk berehat.
“Malam tu baby aku nangis. Tak nak tidur. Dia datang, dia bagi susu. Dia siap cakap dengan aku, ‘mama, you kena tidur. Mama kena rehat. Baby ni you jangan risau i jaga’,” kongsi Anis.
Jururawat Layan Bayi Macam Anak Sendiri
Apa yang menjadi perhatian adalah cara jururawat itu yang tidak kekok melayan si comel tersebut seperti anaknya sendiri.
“Dia ambil minyak, urut kaki, urut perut. Bedungkan tepuk-tepuk sampai baby aku tidur,” kongsinya lagi.
Menerusi perkongsian itu, dapat dilihat jururawat berkenaan mendukung bayi tersebut sambil menyediakan keperluan si comel itu.
Malah jelas pengguna berkenaan, jururawat itu berkali-kali mengingatkannya untuk berehat dan tidak perlu risau tentang anaknya itu.
“Banyak kali dia ulang ‘mama, you tidur, jangan risau’. Sejak aku dalam wad itu, itu malam yang paling aku boleh tidur nyenyak,” jelasnya.
Wanita Kenang Jasa, Tak Pernah Jumpa Jururawat Yang Beri Layanan Sebegini
Pada masa yang sama, Anis mendedahkan tujuannya berkongsi video tersebut hanyalah sekadar mahu menzahirkan ucapan terima kasih kepada jururawat berkenaan atas layanan yang diberikan.
Jelas wanita itu, dia tidak pernah berjumpa dengan jururawat sebegitu yang sanggup memberikan layanan baik kepada pesakit.
“Aku tak pernah jumpa nurse yang macam ini. Siapa kenal nurse ni, please bagi tahu dia, aku ingat jasa dia sampai bila-bila,” tulis Anis.
Pengguna Media Sosial Kagum, Turut Kongsi Pengalaman Pernah Berhadapan Situasi Sama
Perkongsian yang telah mendapat lebih 351,000 tontonan itu nyata menarik perhatian pengguna media sosial.
Mengintai ke ruangan komen, ramai memuji layanan baik yang diberikan oleh jururawat tersebut terhadap pesakitnya.
Malah, kebanyakan daripada mereka meminta agar wanita berkenaan melaporkan layanan baik jururawat itu ke dalam Sistem Aduan Pengurusan Awam (SisPAA) agar dapat disedari oleh pihak pengurusan.
Tidak kurang juga ada yang turut berkongsi pengalaman sama berhadapan dengan situasi serupa dengan jururawat berkenaan serta jururawat lain.
Ini antara komen menarik pengguna Threads:
“Balik Nanti, Buka Portal SisPAA, Tulis Penghargaan Untuk Dia Dalam Tu, Mudah-Mudahan Orang Atasan Baca”

“Masa Saya Bengkak Susu Nurse Saya Pun Macam Ini, Saya Dapat Tidur Nyenyak Sampai Pagi”

“Nurse Ini Memang Baik Hati, Ceria Sentiasa, Tahun Lepas Warded 5 Malam, Memang Seronok Tengok Dia Kerja”

“Baiknya Nurse Ni. Jarang La Nurse Offer Nak Jagakan Baby, Selalu Dia Biarkan Je Kita Terkapai-Kapai Bengkak Mata Tak Tidur”

“Ada Juga Patient Share Pasal Nurse Yang Sama”

Baca Artikel Berkaitan: Oyen Seakan Mengadu Tangan Sakit Di Hospital, Jururawat ‘Sporting’ Bantu Balut Luka [Video]
Baca Artikel Berkaitan: “Kami Dilayan Sangat Baik. Doktor Sangat Baik” – Warga Asing Sangkal Dakwaan Dapat Layanan Buruk Di Malaysia
Baca Artikel Berkaitan: Netizen Seberang Puji Anggota PDRM Beri Layanan Baik Terhadap Warga Indonesia Semasa Buat Pemeriksaan [Video]
Source:
