
Pada tanggal 25 September 2022, ia merupakan tarikh keramat bagi remaja-remaja di Malaysia. Hari tersebut menentukan sama ada mereka akan membuka satu lembaran baharu dalam kehidupan mereka atau memikirkan cara bagaimana untuk meneruskan kehidupan ke alam universiti.
Namun, tidak semua dikurniakan nasib baik yang serupa. Kadang-kadang apa yang dihajati mungkin hanyalah sekadar perancangan manusia, selebihnya bergantung kepada kehendak Ilahi. Sama ada mendapat kursus yang tidak diingini atau permohonan ditolak sama sekali.
Begitulah ragam laman web UPU, satu laman web yang didedikasikan bagi pelajar Malaysia untuk membuat permohonan ke mana-mana IPTA di Malaysia. Jika reaksi pemohon sangat gembira, kita pun tumpang gembira tetapi jika ia sebaliknya, kita pun turut menzahirkan rasa sedih.
Seorang remaja bernama Fazrul Izhan (@fazrul_izhan) telah membuat satu video reaksinya melihat keputusan permohonan UPU. Difahamkan ketika itu, dia bersama rakan-rakan sedang dalam perjalanan ke perlawanan persahabatan dengan menaiki bas.

Pada awal video tersebut, reaksi yang ditampilkan oleh Fazrul dan rakan-rakannya kelihatan teruja dan ingin tahu apa yang terpapar pada skrin telefon miliknya. Disebabkan pada masa itu, ramai pemohon sedang memeriksa keputusan UPU serentak, maka sistem menjadi ‘berat’ sekaligus keputusan gagal dipaparkan.
Walau bagaimanapun, Fazrul mencuba nasib sekali lagi dan debarannya terhenti apabila keputusannya terpampang pada skrin telefon pintarnya. Keadaannya kelihatan sangat mengelirukan kerana dia tertawa tetapi pada masa yang sama, ada bunyi esakan sedikit boleh didengari.
Selepas melihat reaksi Fazrul, rakan-rakannya mula tertanya-tanya apakah keputusan UPU tersebut, sampai mampu memberikan reaksi sebegitu. Dia menunjukkan skrin telefonnya sambil menunjukkan reaksinya yang berbaur dengan pelbagai jenis emosi:
KEPUTUSAN MUKTAMAD: TIDAK BERJAYA
Sebagai penonton, hati kita sangat luluh apabila melihat dia berada dalam situasi ini. Yang lagi menambah rasa perih di hati apabila terdapat layer video yang menampilkan usaha yang dilakukan olehnya untuk mendapat kursus yang diimpikan. Lapisan video itu menunjukkan dia sedang mengenakan pakaian untuk sesi temu duga dan melakukan mock teaching.
Untuk makluman, mock teaching merupakan salah satu cara penemu bual untuk menemu bual pemohon, khususnya untuk kursus pendidikan. Dalam mock teaching, pemohon perlu menunjukkan demonstrasi pengajaran mereka terhadap murid-murid dan biasanya sesi ini disokong dengan alat bantuan mengajar.
Pada akhir video TikTok tersebut, Fazrul ada menyelitkan sedikit tulisan yang berupa monolog daripada dirinya:
Aku percaya aku akan cuba sehabis baik.
Mungkin Allah dah aturkan jalan yang terbaik untuk kita.
Kepada mama abah, maafkan Fazrul tak dapat menjadi warga pendidik.
In Sha Allah, Fazrul akan berusaha ke arah lain demi banggakan mereka.
Baru-baru ini, dia ada memuat naik sebuah video di laman TikTok. Ketika itu, dia menunjukkan respons positif dan terharu daripada kata-kata semangat warganet yang diberikan kepadanya. Dia juga berkata agar jangan risau akan keadaannya kerana dia sudah pun okay dan ingin fokus dalam perlawanan yang bakal berlangsung.

Pada akhir video, Fazrul meminta para warganet untuk mendoakan pasukan agar menang dalam perlawan yang bakal berlangsung. Kisah Fazrul yang menitis air mata kerana ‘terkilan’ tidak dapat mencapai impian menjadi warga pendidik sudah ‘dibukukan’ dalam videonya di bawah.
@fazrul_izhan Bru boleh post
sedih, kecewa semua ada tpi hidup perlu diteruskan mungkin bukn rezeki saya utk menjadi warga pendidik
#upu #upuresults #fyp #upuresult2022 #pendidikan
Kepada Fazrul dan semua pemohon yang kurang bernasib baik, rezeki Allah itu sangat luas, seluas hamparan langit, sedalam isi bumi dan mungkin apa yang diterima pada hari ini, bukanlah satu titik noktah untuk segala-galanya. Mungkin, ini adalah muka surat pertama bagi kehidupan baharu yang anda akan hadapi sebagi seorang dewasa.
Ramai orang pernah mengalami kejatuhan, tetapi tak ramai yang mahu (atau pun takut) untuk berdiri semula. Percayalah, anda memang kuat sebab anda merupakan insan yang luar biasa.
Sumber: @fazrul_izhan via TikTok
The post “Aku Tak Tahu Nak Nangis Ke Gelak…” Remaja Kecewa Tengok ‘Result’ UPU appeared first on Siakap Keli.
