sarah13/10/2026 - 09:01 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Okt - Al-Aqar Healthcare REIT memperkenalkan program sukuk Wakalah bernilai RM3 bilion dan program Kertas Komersial Islam (ICP) bernilai RM300 juta, dengan had penerbitan gabungan sehingga RM3 bilion bagi membiayai pelaburan, keperluan modal kerja serta pembiayaan semula hutang sedia ada dan akan datang.
Program berkenaan membolehkan penerbitan sukuk keutamaan, sukuk kekal dan ICP sama ada dengan penarafan atau tanpa penarafan. Program Sukuk Wakalah bersifat perpetual, manakala program ICP mempunyai tempoh tujuh tahun.
Hasil penerbitan sukuk itu akan digunakan terutamanya untuk membiayai pelaburan, membiayai semula obligasi hutang, memenuhi keperluan modal kerja serta menampung perbelanjaan berkaitan penerbitan sukuk.
Menurut BIMB Securities Research (BIMB Securities), dalam laporan kemas kini syarikat, Al-Aqar REIT dijangka menerbitkan sukuk bernilai RM639 juta menjelang akhir tahun kewangan 2026 (FY26) bagi membiayai semula kemudahan pembiayaan bertempoh sedia ada dengan bank.
Jumlah itu merangkumi RM280 juta di bawah Kemudahan Pembiayaan Bertempoh Murabahah Komoditi dan RM359 juta di bawah Kemudahan Pembiayaan Bertempoh Jambatan Kelab Islam, daripada jumlah pinjaman tertunggak sebanyak RM1.01 bilion.
BIMB Securities berkata, langkah pembiayaan semula itu dijangka membantu memperbaiki profil pembiayaan Al-Aqar REIT melalui tempoh hutang yang lebih panjang. Kesemua pinjaman sedia ada berjumlah RM1.01 bilion ketika ini menggunakan kadar faedah terapung dan matang dalam tempoh dua tahun.
Al-Aqar REIT menyasarkan peningkatan bahagian pinjaman berkadar tetap kepada 70% secara berperingkat bagi memadankan struktur pembiayaannya dengan aset jangka panjang serta keterlihatan pendapatan sewa. Kos pembiayaan purata ketika ini ialah 4.9%, dengan potensi penurunan apabila pasaran bon kembali stabil dan kadar faedah beransur-ansur susut.
Dalam perkembangan lain, pelupusan Kolej Kesihatan KPJ Pulau Pinang bernilai RM12 juta selesai pada 14 September 2026. Hasil pelupusan itu dijangka digunakan sebahagiannya untuk mengurangkan pinjaman kumpulan, sekali gus menurunkan nisbah penggearan bersih daripada 48.3% pada FY25 kepada 47.8% menjelang akhir FY26.
Sementara itu, penyelesaian pelupusan Jeta Gardens, kemudahan penjagaan warga emas di Australia, dijangka tertangguh sehingga FY27 berikutan keperluan memenuhi kelulusan kawal selia. Selepas pelupusan itu selesai, nisbah penggearan bersih diunjurkan menurun lagi kepada 46.6%.
BIMB Securitie berkata, tumpuan Al-Aqar REIT terhadap aset penjagaan kesihatan menyokong kestabilan pendapatan kerana permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan lazimnya kekal konsisten merentasi kitaran ekonomi. Tempoh tamat pajakan juga diagihkan dengan baik, dengan hanya 1.2% hingga 6.4% daripada jumlah keluasan lantai bersih (NLA) melibatkan enam hartanah dijadualkan untuk pembaharuan pajakan sepanjang FY26 hingga FY28.
Walaupun nisbah penggearan masih di bawah had 50% bagi REIT, rancangan pengambilalihan aset baharu mungkin bergantung pada strategi pelupusan aset bukan teras dan penggunaan program sukuk RM3 bilion yang baru diperkenalkan. Kumpulan itu dijangka terus mengawal perbelanjaan modal, menaik taraf infrastruktur yang semakin berusia serta mengawal perbelanjaan operasi.
Dari segi prestasi kewangan, BIMB Securities Research menyemak turun unjuran pendapatan boleh agih Al-Aqar REIT bagi FY26 hingga FY28 masing-masing sebanyak 0.7%, 8.1% dan 6.6%, susulan jangkaan perbelanjaan kewangan yang lebih tinggi.
Pendapatan boleh agih diunjurkan meningkat daripada RM64.5 juta pada FY26 kepada RM69.7 juta pada FY27 dan RM74.4 juta pada FY28. Agihan pendapatan seunit (DPU) pula dijangka meningkat daripada 7.2 sen pada FY26 kepada 7.8 sen pada FY27 dan 8.3 sen pada FY28.- DagangNews.com


