Al-Salam REIT, MRT Corp meterai MoU projek pembangunan jejantas pejalan kaki hubungkan Stesen RTS Link dan Komtar JBCC 

17 Jul 2023 • 5:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Al-Salam REIT, MRT Corp meterai MoU projek pembangunan jejantas pejalan kaki hubungkan Stesen RTS Link dan Komtar JBCC

zulfadli

17/07/2023 - 17:40

KUALA LUMPUR 17 Julai - Al-Salam REIT, sebuah amanah pelaburan hartanah tersenarai milik majoriti kumpulan syarikat Johor Corporation, dan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk pembangunan jejantas pejalan kaki yang menghubungkan pusat beli-belah Komtar JBCC ke jambatan terancang stesen Sistem Transit Rapid (RTS) Link Bukit Chagar.

Dijangka dibuka pada 2027, jejantas pejalan kaki berhawa dingin sepanjang 42 meter dengan kelebaran 4 meter hingga 8 meter Komtar JBCC menawarkan penumpang laluan yang lancar, selamat dan mudah antara stesen, pusat beli-belah dan kawasan sekitar Ibrahim International Business District (IIBD).

Pengerusi Damansara REIT Managers Sdn Bhd, Datuk Mohd Redza Shah berkata, pembukaan Stesen RTS Link pada 2027 akan meningkatkan kebolehcapaian Komtar JBCC, yang membawa kepada lonjakan pengunjung.

Katanya, kemasukan penumpang RTS Link sahaja dijangka meningkatkan jumlah pengunjung sebanyak dua kali ganda berbanding pra-pandemik.

"Inisiatif ini sudah pasti akan membuahkan manfaat yang besar, kerana trafik pejalan kaki yang meningkat akan memacu pertumbuhan perniagaan dan menghasilkan kadar sewa yang lebih tinggi.

"Kami berhasrat untuk merancakkan semula potensi pendapatan Komtar JBCC, memberi nafas baharu dalam operasinya dan merealisasi potensi sebenar," katanya dalam kenyataan media di sini.

Mohd Redza berkata, seiring dengan pelaksanaan inisiatif mempelbagai kelas aset dan inisiatif penyewa, inisiatif pemulihan pendapatan Komtar JBCC berdiri sebagai tunggak utama dalam usahanya untuk meningkatkan jumlah nilai aset semasa Al-Salam REIT sebanyak lima kali ganda dalam tempoh lima tahun.

image is not available

"Inisiatif sedemikian akan berfungsi sebagai pemangkin untuk meningkatkan nilai unit kami, memberikan peluang pelaburan berpotensi besar kepada pelabur kami melalui penyertaan dalam tawaran persendirian berpotensi Al-Salam REIT.

"Siri acara jerayawara bersama pihak berkepentingan dijangka diadakan mulai hari ini dan seterusnya oleh Pengurusan Dana," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi JLand Group, Datuk Akmal Ahmad berkata, projek ini adalah bukti komitmen JLand Group dan MRT Corp dalam meningkatkan daya tarikan Johor Bahru sebagai hab perniagaan dan pelancongan antarabangsa.

Katanya, jejantas pejalan kaki ini akan meningkatkan kesalinghubungan di IIBD, yang akan memberi manfaat kepada perniagaan yang terletak di dalamnya.

"Bagi memastikan kejayaannya, JL Projects Sdn Bhd cabang pembangunan projek JLand Group akan melaksanakan perancangan, reka bentuk dan pembangunan jejantas tersebut," katanya. - DagangNews.com