haziq08/01/2026 - 17:46 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Jan – Alam Maritim Resources Berhad memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM29 juta daripada Vestigo Petroleum Sdn Bhd bagi kerja-kerja Pembetulan Rentang Bebas untuk saluran paip 12-inci Aliran Telaga Penuh TNAG sepanjang 60km, sekali gus mengukuhkan pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Lembaga Pengarah Alam Maritim memaklumkan kontrak tersebut dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuh, Alam Maritim (M) Sdn Bhd menerusi surat anugerah bertarikh 16 Disember 2025.
Menurut syarikat, kontrak itu dianugerahkan atas asas jumlah pukal dengan tempoh pelaksanaan dijangka bermula selepas penganugerahan dan siap dalam tempoh enam bulan dari tarikh mula.
Alam Maritim berkata kontrak berkenaan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset ketara bersih (NTA) kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, tanpa memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat.
“Risiko berkaitan kontrak adalah risiko operasi biasa dan boleh ditangani melalui sistem pengurusan projek serta kawalan dalaman perniagaan Kumpulan,” menurut makluman itu.
Syarikat turut memaklumkan tiada pengarah atau pemegang saham utama termasuk pihak berkaitan, mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut.
Lembaga Pengarah berpandangan penerimaan dan pelaksanaan kontrak berkenaan adalah selaras dengan kepentingan terbaik syarikat, mencerminkan keupayaan Alam Maritim dalam menyampaikan perkhidmatan kejuruteraan dan penyelenggaraan infrastruktur luar pesisir. - DagangNews.com

