
SEORANG kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang mengalami pendarahan selama empat hari dikejarkan ke hospital dipercayai akibat seekor lintah yang bersarang di dalam hidungnya.
Kejadian pada malam Sabtu itu dipercayai berlaku selepas kanak-kanak tersebut membasuh muka di sebuah anak sungai di Wilayah Chiang Mai, Thailand.
Memetik laporan media Thairath, mangsa kemudiannya dipindahkan dari Hospital Omkoi ke Hospital Nakornping bagi mendapatkan rawatan lanjut selepas mengalami pendarahan yang tidak berhenti dari lubang hidung kanan.
Pemeriksaan menggunakan endoskopi hidung mendapati terdapat seekor lintah yang melekat dengan kuat di dalam rongga hidung sebelah kanan mangsa.
Pakar telinga, hidung dan tekak, Dr Chaiyawat Songsompanyakun berkata, beliau menggunakan alat penyedut khas untuk mengeluarkan lintah tersebut dengan selamat.
“Selepas pembedahan kecil, mangsa diberikan ubat antibiotik dan dibenarkan pulang. Tiada simptom baharu dilaporkan selepas rawatan,” jelasnya.

Menurut Dr Chaiyawat, lintah dan makhluk kecil lain boleh memasuki tubuh manusia melalui bukaan seperti hidung, telinga, kemaluan atau saluran kencing, terutamanya di kawasan luar bandar yang penduduknya sering mandi atau mencuci diri menggunakan air yang tidak dirawat seperti sungai, kolam dan air terjun.
"Biasanya, lintah ini tidak disedari sehingga mangsa mula mengalami simptom seperti pendarahan, hidung tersumbat, bersin atau rasa geli di dalam hidung,” tambah beliau.
Beliau juga menegaskan bahawa proses pengeluaran lintah perlu dilakukan oleh pakar perubatan bagi mengelakkan pendarahan serius sekiranya ditarik secara tidak betul.
Kebiasaannya, doktor akan menggunakan bius setempat atau pelincir untuk memudahkan proses pengeluaran lintah, diikuti dengan rawatan susulan seperti antibiotik atau ubat bagi menghentikan pendarahan.




