SEPANG - Degil membawa muatan berlebihan, 41 lori disita hasil pemeriksaan terhadap 194,318 kenderaan menerusi operasi khas kenderaan berat di seluruh Selangor sejak Januari lalu.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Menhat berkata, statistik setakat Jumaat menunjukkan tindakan turut diambil ke atas 11,431 lori, manakala 1,595 daripadanya dikenakan arahan timbang.
Menurutnya, tindakan sitaan ke atas 41 lori diambil mengikut Seksyen 80 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
"Antara kesalahan yang direkodkan ialah membawa lebih muatan, membawa muatan yang tidak dibenarkan serta kesalahan-kesalahan lain yang melanggar syarat lesen pengendali.
"Selain itu, tidak menyelenggara kenderaan dengan baik, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada insurans serta tiada Lesen Vokasional dan Lesen Memandu Kompeten (CDL)," katanya kepada pemberita ketika Op Lebih Muatan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil di sini pada Sabtu.
**media[3522849]**
Beliau berkata, fokus utama operasi itu adalah terhadap kenderaan yang melanggar had muatan dibenarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 57(1) APAD serta Kaedah 89 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan Dan Penggunaan) 1959.
Menurut beliau, kebiasaan pemandu lori yang membawa lebihan muatan akan memberi alasan mahu mendapatkan untung lebih.
Selain itu, katanya, JPJ turut mengesan penglibatan tonto dalam isu lebih muatan ini.
Dalam operasi pada Sabtu, sebanyak 132 kenderaan berat diperiksa dan 30 kenderaan dikenakan tindakan, termasuk 10 kes tiada lesen memandu, 10 tiada lesen GDL, 52 kesalahan teknikal, tiga lebih muatan dan lima kesalahan lain.
Notis yang dikeluarkan termasuk 81 Notis P22, 50 Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1), dan 52 Notis Arah Periksa Kenderaan di bawah Seksyen 61.
Ahmad Kamarunzaman menegaskan tiada kompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, dan tindakan penguatkuasaan di bawah Op Lebih Muatan akan terus diperkasa secara berterusan demi keselamatan jalan raya, kesejahteraan orang awam dan kelestarian sistem pengangkutan negara.
"Orang ramai turut diseru agar menyalurkan aduan berkaitan kesalahan melibatkan kenderaan perdagangan secara terus atau masa nyata (realtime) melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau e-mel ke aduantrafik@jpj.gov.my berserta butiran lengkap aduan bagi tindakan lanjut pihak jabatan," ujarnya.




