Kerajaan baru-baru ini telah mengumumkan bahawa jualan alat vape akan diharamkan sepenuhnya di Malaysia, dengan beberapa negeri seperti Perlis, Melaka dan Selangor telahpun memperlihatkan inisiatif sendiri untuk membendung jualan produk tersebut.
Ia bukan sahaja memudaratkan kesihatan, penjualan alat-alat vape ini, khususnya model pakai-buang secara lazimnya akan menyebabkan peningkatan jumlah bahan buangan digital, khususnya dengan banyak pena vape hari ini juga hadir dengan kemampuan pengecasan USB Type-C dan juga paparan skrin digital secara terbina.
Baru-baru ini, seorang jurutera yang bernama Bogdan Ionescu, atau lebih dikenali sebagai BogdanTheGeek telah menggunakan sebuah alat pena vape yang terpakai dan menukarnya menjadi sebuah mesin pelayan yang mampu menghos laman web ringkas dengannya.

Alat vape yang digunakannya hadir dengan cip PY32F002B yang turut merumahkan storan sebanyak 24kB dan memori sebesar 3kB dan ia adalah mencukupi untuk merumahkan sebuah hantaran laman web, yang merupakan langkah-langkah bagaimanakah beliau mengubahsuai komponen pena vape tersebut untuk dijadikan sebuah mesin pelayan web ringkas.
Setelah beberapa pengubahsuaian termasuklah secara fizikal dan juga kod pengaturcaraan, beliau telah berjaya untuk membolehkan “mesin pelayan” ini memperlihatkan pos hantaran melalui rangkaian internet dalam masa 160ms sahaja.
Jika anda berminat untuk melihat jika anda boleh menukar pena vape terpakai anda untuk ditukar menjadi sebuah mesin pelayan web, Bogdan telah memuat-naik kod sumber projek ini di laman GitHub beliau.

