Albert Tei gagal pindah kes ke Mahkamah Tinggi

LocalPolitics
18 Sep 2026 • 3:58 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Albert Tei gagal pindah kes ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan ahli perniagaan Albert Tei untuk memindahkan lima pertuduhan rasuah yang dihadapinya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menolak permohonan Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, 37, atas alasan isu yang dibangkitkan bukan sesuatu yang kompleks dan boleh ditangani di Mahkamah Sesyen.

“Saya tidak bersetuju dengan permohonan pemohon (Tei). Pendirian saya jelas, isu yang dibangkitkan bukan sesuatu yang kompleks dan ia akan dialami oleh semua orang yang dituduh.

“Sebaik sahaja kamu dibawa ke mahkamah, kamu mempunyai masa untuk membuat persediaan dengan melantik peguam dan bersedia menghadapi perbicaraan.

Walaupun tarikh perbicaraan telah ditetapkan dan kamu masih belum bersedia, mahkamah akan memberikan kelonggaran untuk menangguhkan prosiding bagi memastikan tertuduh benar-benar bersedia. Oleh itu, permohonan ditolak,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan mewakili pihak pendakwaan, manakala Tei diwakili peguam Mahajoth Singh.

Dalam prosiding sebelum ini, Mahajoth memaklumkan kepada mahkamah permohonan itu dibuat kerana pertuduhan dihadapi anak guamnya membabitkan isu Perlembagaan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Tei didakwa atas empat pertuduhan iaitu memberi suapan wang tunai berjumlah RM140,000 dan kelengkapan perabot termasuk barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Suapan itu sebagai dorongan untuk Shamsul Iskandar membantu syarikat yang mempunyai kepentingan dengan tertuduh mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, walaupun sebenarnya perbuatan itu tidak ada hubungan dengan hal ehwal prinsipalnya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, serta di Jalan Medang Serai dan Bukit Bandaraya, di sini serta di Presint 14, Putrajaya antara 24 Nov 2023 dan 5 Mac 2024.

Selain itu, Tei didakwa memberi suapan berjumlah RM64,924 kepada Shamsul Iskandar di sebuah bank di Country Heights, Kajang antara 28 Nov 2023 hingga 23 Sept 2024.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Bernama

The post Albert Tei gagal pindah kes ke Mahkamah Tinggi appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved