'Alhamdulillah, dapat berjimat beberapa minggu'

17 Sep 2022 • 8:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tuan Shamsiah (kiri) bersama anaknya, Nik Farisya Murtazi, 18, tidak melepaskan peluang berbelanja pada Karnival Jualan Murah Kota Bharu Prihatin.

image is not available
Norshahida

image is not available
Penerima kupon tidak melepaskan peluang mendapatkan anggur pada harga RM5.99.

image is not available
Penerima kupon tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan utama pada harga rendah semasa Karnival Jualan Murah Kota Bharu Prihatin pada Sabtu.

KOTA BHARU - Kira-kira 1,000 penduduk dalam kalangan B40 di Parlimen Kota Bharu menerima manfaat daripada Karnival Jualan Murah Kota Bharu Prihatin pada Sabtu.

Beberapa penduduk yang ditemui bersyukur kerana menerima kupon bagi membolehkan mereka membeli pada harga lebih rendah di pasaran.

Bagi suri rumah, Tuan Shamsiah Tuan Ludin, pemberian kupon itu menjimatkan perbelanjaan keluarganya kerana harga ditawarkan jauh lebih murah daripada pasaran.

Tuan Shamsiah dari Kampung Dusun Muda berpeluang membeli keperluan harian seperti susu, gula dan minyak bermula pada harga RM1 hingga RM10.

"Alhamdulillah, saya dapat berjimat dalam tempoh beberapa minggu. Karnival ini sangat membantu terutama ketika kenaikan harga barang," katanya.

Penjaja kuih, Juliana Mokhtar, 33, pula gembira kerana boleh mendapatkan tepung gandum serta gula pada harga jauh lebih murah.

Katanya, bantuan itu meringankan bebannya untuk membeli keperluan utama membuat kuih.

"Saya juga tidak melepaskan peluang membeli anggur pada harga RM5.99 sekilogram. Tawaran ini sangat berbaloi kerana dapat berjimat," katanya.

Peniaga dalam talian, Norshahida Saiful Bahrin, 32, bersyukur kerana program pertama kali itu membolehkannya membeli keperluan dapur dengan harga murah.

Norshahida dari DUN Tanjung Mas juga berharap lebih banyak karnival seumpama itu dilaksanakan pada masa akan datang.

"Ia sangat berbaloi kerana kami boleh berjimat dan membeli keperluan penting lain untuk anak-anak," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, inisiatif itu dilaksanakan daripada peruntukan kerajaan Persekutuan untuk tampung subsidi kepada rakyat.

"Kita bekerjasama dengan Pasaraya Mydin dan mengemukakan senarai 10 barangan keperluan harian utama.

"Kami mengenal pasti golongan B40 untuk dibantu dan berharap mereka dapat berjimat," katanya.