'Ali Baba': Johor pertimbang tiga syarat baharu bendung warga asing salah guna lesen perniagaan

LocalPolitics
24 Nov 2026 • 3:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

'Ali Baba': Johor pertimbang tiga syarat baharu bendung warga asing salah guna lesen perniagaan Image from: 'Ali Baba': Johor pertimbang tiga syarat baharu bendung warga asing salah guna lesen perniagaan hamden24/11/2026 - 15:43 Gambar Hiasan Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov - Kerajaan Johor sedang mempertimbangkan tiga syarat pelesenan tambahan bagi membendung kegiatan warga asing menjalankan perniagaan secara haram menggunakan lesen milik rakyat tempatan menerusi amalan 'Ali Baba'.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, cadangan itu merangkumi keutamaan kepada rakyat Malaysia untuk bekerja sebagai juruwang di premis peruncitan, kewajipan pekerja asing memiliki pasport dan permit kerja yang sah serta keperluan pemilik perniagaan mengemukakan senarai terkini pekerja asing kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

 

"Kerajaan negeri sedang menyemak garis panduan pelesenan di kesemua 16 PBT bagi menyeragamkan syarat dan penguatkuasaan, selain memastikan peluang perniagaan terus dilindungi untuk rakyat Malaysia," katanya ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar.

 

Beliau menjawab pertanyaan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), iaitu Selamat Takim (BN-Sungai Balang), Baharudin Mohamed Taib (BN-Permas) dan Anuar Abd Manap (BN-Pemanis) mengenai peningkatan kehadiran warga asing, termasuk yang menjalankan perniagaan secara haram.

 

Menurut Jafni, warga asing tidak pernah diberikan lesen penjaja untuk menjalankan perniagaan di pasar pagi, pasar malam atau pasar tani.

 

Katanya, lesen yang dikeluarkan kepada rakyat Malaysia bukan untuk disewakan, diserahkan atau dipindah milik kepada warga asing.

 

Sebarang penyalahgunaan akan dikenakan tindakan tegas, termasuk pembatalan lesen, tertakluk kepada undang-undang sedia ada," tambahnya

 

Jafni berkata, operasi penguatkuasaan oleh 16 PBT dari 2025 hingga September 2026 menghasilkan 1,092 sitaan, 211 notis dan 511 kompaun berjumlah RM324,500, membabitkan kesalahan warga asing menjalankan perniagaan tanpa lesen. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved