
BERBEKALKAN pengalaman kerja sambilan mengupas 20 kilogram keledek sehari, Noor Aliah Ahmad Razi, 22, kini melangkah ke pentas antarabangsa menerusi kejayaan dalam bidang sains makanan.
Kejayaan tersebut membolehkan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu dipilih sebagai penerima tunggal di dunia bagi Biasiswa PepsiCo – Institute of Food Technologists (IFT) 2026 bernilai AS$6,000 (RM25,000).
Pengiktirafan berkenaan juga telah membawa Noor Aliah ke IFT, Chicago, Amerika Syarikat pada Julai lalu, selain dapat mengukuhkan impiannya untuk melakukan penyelidikan dan menghasilkan inovasi makanan bermanfaat kepada masyarakat.
Perjalanan pendidikan gadis berasal dari Segamat, Johor itu bermula di Avonmore Primary School, United Kingdom, sebelum meneruskan persekolahan menengahnya di Segamat. Kemudian, anak sulung daripada enam beradik itu menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan.
Kini, dia merupakan pelajar semester akhir Ijazah Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dengan Kepujian di UTHM, Kampus Pagoh.

“Sejujurnya, cita-cita saya sejak kecil sering berubah-ubah dan tidak pernah tetap.
“Saya tidak pernah membayangkan akan mendalami bidang sains dan teknologi makanan,” katanya memulakan bicara kepada K-Kampus.
Menurut Noor Aliah atau lebih mesra disapa Aliah, pengalaman bekerja sambilan di McDonald’s dan Burger King mengubah perspektifnya terhadap industri makanan.
“Ketika itu, saya mula tertanya-tanya tentang proses yang berlaku sebelum makanan sampai kepada pengguna.
“Banyak sebenarnya perkara saintifik menarik yang boleh diterokai dalam industri makanan,” katanya.

Daripada pengalaman itu, Aliah memahami kepentingan pemprosesan, pengawetan dan keselamatan makanan, selain tertarik meneroka potensi bahan yang sering dianggap sisa buangan.
Minat tersebut berkembang menerusi pengajian, pengalaman makmal dan program mobiliti akademik di United Kingdom pada tahun lalu.
Sepanjang di United Kingdom, dia mendalami pemakanan sukan, kesihatan wanita dan sebatian bioaktif sekali gus memahami kaitan penyelidikan dengan kehidupan sebenar.
Berkongsi mengenai pembabitannya dalam acara di peringkat antarabangsa, Aliah berkata, segalanya bermula apabila salah seorang pensyarahnya berkongsi maklumat Biasiswa PepsiCo – IFT Academic and Travel Undergraduate Hybrid Scholarship 2026.
Biasiswa yang ditawarkan adalah AS$6,000, merangkumi AS$5,000 (RM21,000) untuk sokongan akademik dan AS$1,000 (RM4,000) bagi perjalanan menghadiri IFT FIRST di Chicago.
“Saya terfikir, mengapa saya tidak mencubanya? Ketika itu, saya saya tidak tahu sama ada permohonan saya akan berjaya atau tidak.
“Niat saya ketika itu hanya untuk belajar dan mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.

Bagi permohonan tersebut, Aliah menyediakan tiga esei mengenai minat, penyelidikan dan sebab dirinya wajar dipilih sebagai penerima biasiswa berkenaan.
Dia turut mengetengahkan penyelidikannya mengenai proses pengeringan gelombang mikro dan fungsian kulit serta batang pisang.
Kajian itu mencerminkan minatnya meneroka potensi hasil sampingan pertanian untuk dimanfaatkan sekali gus membantu mengurangkan pembaziran.
“Saya sangat terkejut dan bersyukur apabila mengetahui dipilih sebagai penerima tunggal dunia pada tahun ini,” katanya.
Pengiktirafan itu membolehkan Aliah menghadiri IFT FIRST 2026 di Chicago pada 12 hingga 15 Julai lalu, selain melawat ibu pejabat PepsiCo.
Di negara Uncle Sam, dia berpeluang menyaksikan sendiri perkembangan inovasi makanan serta berinteraksi dengan pelajar dan profesional daripada pelbagai latar belakang.
Dia turut mengunjungi IFTSA Student Show and Taste yang mempamerkan produk inovasi hasil pembangunan para pelajar.
“Saya melihat bagaimana sesuatu produk perlu dinilai dari pelbagai sudut, bukan sekadar idea menarik,” ujarnya.
Sepanjang pengajian, Aliah turut mengasah bakat serta kemahiran menerusi pertandingan inovasi, pengucapan awam dan projek pembangunan produk.
Buktinya, pada tahun lalu, dia memenangi tempat pertama InnoFood Pitching Challenge menerusi projek ‘Plate for the Future’.
Tidak sekadar itu, dia turut memperoleh tempat kedua dalam pertandingan pengucapan awam sempena Food Innovation Challenge di Universiti Putra Malaysia.
Pada tahun sama, Aliah turut menyertai Undergraduate Oratory Competition MIFT ke-14, sekali gus memperkukuhkan pengalaman dan keyakinannya dalam pengucapan awam.
Lebih manis, pada tahun ini, produk sapuan berasaskan biji mangga yang dibangunkan Aliah bersama pasukannya meraih tempat ketiga pada pertandingan inovasi UTHM.
Dia juga terlibat dalam penilaian kebersihan perusahaan kecil, dokumentasi permohonan pensijilan halal dan pembangunan produk Durian-Flavoured Boba.
Dalam akademik pula, peminat novel misteri pembunuhan itu bersyukur kerana memperoleh anugerah dekan pada setiap semester pengajian.
Namun, tumpuannya bukan sekadar mengumpul pengiktirafan, sebaliknya meneroka penyelesaian masalah pembaziran makanan melalui penyelidikan berasaskan sains.
Antara idea yang ingin dikaji adalah penggunaan whey berasid (whey masam) hasil sampingan penghasilan keju krim dalam pembuatan roti sandwic.
lni kerana, dia mahu menguji potensinya mengawal pertumbuhan kulat atau mengekalkan kelembutan roti, namun keberkesanannya masih memerlukan kajian saintifik.
“Saya tertarik dengan idea memanfaatkan bahan yang biasanya dibuang untuk menghasilkan sesuatu yang berguna,” katanya.
Di sebalik kejayaan diperolehi, Aliah turut berdepan ujian peribadi apabila mengetahui ibunya menghidap kanser limfoma tahap empat baru-baru ini.
Pengalaman tersebut membuatkan dia lebih menghargai keluarga, selain mendorongnya memahami hubungan antara makanan, kesihatan dan penyelidikan.
Selepas tamat pengajian kelak, Aliah berhasrat membina kerjaya dalam keselamatan makanan dan jaminan kualiti.
Namun, dia mahu mengumpul pengalaman industri terlebih dahulu, sebelum mempertimbangkan pengajian lanjutan atau pekerjaan di luar negara.
The post Aliah penerima tunggal dunia Biasiswa PepsiCo-IFT 2026 appeared first on Kosmo Online.
