
AIDILFITRI tahun ini pastinya lebih meriah bagi penyanyi dan pengacara, Alif Satar, apabila keluarga kecilnya bakal diserikan dengan kehadiran cahaya mata keempat.
Alif mendedahkan, mereka bakal menimang bayi perempuan yang dijangka lahir pada hari raya kedua.
Memetik OhBulan!, Alif atau nama penuhnya Muhammad Aliff Mohd Satar, berkongsi bahawa isterinya, Shadila Halid, akan melahirkan anak secara pembedahan.
Pelakon drama Dia Semanis Honey itu berkongsi bahawa ahli baharu dalam keluarga mereka bakal menambah lagi kemeriahan musim perayaan kali ini.
"Alhamdulillah, saya rasa gembira sangat nak sambut baby baru. Ketiga-tiga anak saya pun semakin membesar, mereka juga tidak sabar menantikan kelahiran adik baru.
"Sepanjang bulan Ramadan ini ada dua soalan yang mereka selalu tanya pada saya dan isteri, iaitu pukul berapa waktu berbuka dan bayi dalam kandungan sudah besar mana?
"Hanya dua soalan ini sahaja mereka ulang-ulang tanya pada saya.
"Saya tengok anak-anak pun sangat excited untuk tahu bila adik baru mereka dilahirkan dan berapa umur bayi itu sekarang," ujar Alif ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen ‘Baju Raya Lama Baharu’, anjuran Sun Life Malaysia dengan kerjasama Media Prima Berhad di Balai Berita Bangsar, Rabu lalu.
Berjaga malam
Dalam pada itu, bekas pengacara Meletup itu memaklumkan bahawa dia sudah mula membiasakan diri dengan rutin berjaga malam beberapa bulan lalu sebagai persediaan awal menyambut kelahiran bayi.
"Alhamdulillah, kandungan berada dalam keadaan sihat. Isteri saya pun dapat berpuasa sepanjang bulan Ramadan ini, dia juga tetap bangun sahur dan masak untuk kami sekeluarga," ungkap lelaki berusia 36 tahun itu.

Alif menambah, mereka juga merancang untuk beraya seperti biasa pada satu Syawal nanti.
"Pada sebelah siang, insya-ALLAH kami akan beraya seperti biasa. Pada petangnya pula, isteri saya akan daftar masuk ke hospital dan kalau tiada sebarang halangan, mungkin pada waktu subuh hari raya kedua bayi kami akan dilahirkan.
"Tetapi, ini perancangan sahaja kerana semuanya atas ketentuan ALLAH. Kalau DIA kata satu dua hari lagi anak akan lahir, saya pun tak boleh nak kata apa," jelasbta lagi.
Sebagai rekod, Alif Satar sah bergelar suami kepada Shadila Halid sejak September 2014.
Pasangan tersebut kini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Alisha Anugerah, Ariana Mecca, dan Muhammad Ali, dan bakal menyambut ahli baharu yang dijangka membawa lebih banyak kegembiraan kepada keluarga mereka.
