Alim Ulama Perlu Satukan Umat Islam Bukan Terus Mencarikkan – Khairuddin

LocalPolitics
11 Mar 2023 • 5:39 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Menurut Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, tempat ibadat itu sepatutnya perlu dijadikan platform untuk menyatukan umat atas nama Islam, bukannya menanam kebencian - Gambar Fail

KUALA LUMPUR - Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menegur perbuatan sesetengah pihak yang menggunakan surau dan masjid, sebagai medan untuk menyindir dan menghentam saingan politik kepartian.

Menurut beliau, tempat ibadat itu sepatutnya perlu dijadikan platform untuk menyatukan umat atas nama Islam, bukannya menanam kebencian.

“Golongan alim ulama perlu bersifat menyatu kalangan umat, bukan terus mencarikkan. Persaingan politik kepartian sesama muslim jangan dinaratifkan bagaikan pertembungan iman dan kufur.

“Lalu dibaca ayat-ayat pertembungan antara jahiliyah Quraisy yang kufur dan menentang Islam dengan Rasulullah (saw) untuk memberi mesej salah bahawa persaingan ini adalah persaingan Islam serta kufur,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Pada masa sama, Khairuddin yang juga mantan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS menegur tindakan individu tertentu yang mendoakan ‘kemusnahan’ sesama umat Islam.

“Doa-doa khusus memohon kemusnahan sesama muslim wajar dielakkan. Ia mencarik bukannya menyatukan,” katanya.

image is not available
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali - Gambar Fail

Meskipun Khairuddin tidak menamakan sesiapa dalam hantaran berkenaan, namun ia dipercayai ditujukan kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Sebelum ini, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dilaporkan berkata, beliau akan tetap meneruskan ceramahnya di masjid dan surau seperti biasa walaupun wakil rakyat di Terengganu dilarang berbuat demikian.

Malah semalam, Abdul Hadi tetap menyampaikan kuliah duha mingguan seperti biasa di Masjid Rusila di Marang, Terengganu.

Perkara itu dilaporkan beberapa media dan rakaman kuliah tersebut juga dimuat naik di media sosialnya.

Terdahulu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu melarang ahli politik termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Senator daripada menyampaikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau di negeri itu. – Getaran, 11 Mac 2023

View Original Article