Alipay+, Paynet permudah pelancong Malaysia urus pembayaran rentas sempadan guna aplikasi perbankan, e-dompet
diyana
29/08/2023 - 16:58
KUALA LUMPUR 29 Ogos - Ant Group, pengendali Alipay+, dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) telah menjalin kerjasama untuk memperluaskan penerimaan pembayaran rentas sempadan oleh pengguna Malaysia.
Di bawah memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai kedua-dua syarikat itu, kerjasama tersebut membolehkan aplikasi perbankan dan e-dompet milik pengguna Malaysia, yang disokong PayNet, diterima pakai rangkaian pedagang Alipay+ di seluruh dunia
Dalam satu kenyataan media bersama hari ini, Ant Group dan Paynet berkata MoU tersebut juga membolehkan lebih ramai pengembara Asia ke Malaysia dapat menikmati pembayaran digital yang lancar di lebih 1.8 juta rakan niaga di Malaysia.
Tambahnya, terdapat lima e-dompet terkemuka Asia yang terlibat pada masa ini, termasuk AlipayHK (Hong Kong SAR), GCash (Filipina), Kakao Pay (Korea Selatan) dan TrueMoney (Thailand) dan lebih banyak e-dompet lagi yang akan turut serta pada bulan-bulan akan datang.
Selain pembayaran, Ant Group dan PayNet akan bekerjasama dalam usaha pemasaran digital bagi meningkatkan ketelusan perniagaan secara langsung dalam e-dompet pengguna.
Ketua Pegawai Komersial PayNet, Gary Yeoh berkata kerjasama tersebut adalah tepat pada waktunya memandangkan perjalanan dan pelancongan luar negara bukan sahaja telah kembali sepenuhnya, malah semakin meningkat.
“Memandangkan Malaysia telah lama menjadi destinasi kegemaran dan popular dalam kalangan pelancong Asia dan begitu juga sebaliknya, kerjasama ini dijangka akan memacu pertumbuhan perdagangan lebih tinggi antara negara-negara jiran,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengurus Besar Perkhidmatan Pedagang Luar Talian Alipay+ di Ant Group, Dr Cherry Huang berkata kedua-dua pihak sedang bergabung usaha untuk menyatukan perniagaan tempatan dengan pengunjung antarabangsa, dengan menawarkan bukan sahaja kemudahan kepada pelancong, tetapi juga lebih peluang dan ketelusan untuk perniagaan di Malaysia.
Selain Malaysia, Alipay+ juga diterima secara meluas di destinasi seperti China, Macao SAR, Singapura, Thailand, Jepun dan Korea Selatan, dan sebagainya.
Bagi PayNet, ini merupakan satu lagi kerjasama rentas sempadan yang baharu selepas Thailand, Indonesia dan Singapura. - DagangNews.com



