
SHAH ALAM, 15 MEI: Siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati aliran air berbuih yang dikesan di Sungai Semenyih dipercayai berpunca dari kawasan Taman Perindustrian Sri Haneco, Semenyih.
LUAS memaklumkan aliran berbuih itu dikesan kira-kira jam 6 petang Selasa lalu sebelum Kod Kuning diaktifkan mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor bagi tujuan siasatan serta tindakan mitigasi segera.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi mendapati aliran berbuih sepanjang kira-kira 300 meter di sungai itu berpotensi memberi risiko kepada operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang terletak kira-kira 19.03 kilometer dari lokasi kejadian.
“Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) diaktifkan dengan pengepaman air kolam B dan C bagi penyaluran sumber air terus kepada LRA Sungai Semenyih sebagai langkah mitigasi segera bagi memastikan tiada gangguan bekalan air mentah kepada loji.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap premis-premis di kawasan perindustrian terbabit bagi mengenal pasti punca sebenar aliran berbuih selain memastikan pematuhan terhadap Dasar Pelepasan Sifar (ZDP)," katanya dalam kenyataan.
Katanya, pemantauan sepanjang malam hingga pagi 13 Mei lalu mendapati tiada lagi aliran berbuih atau bau abnormal dikesan di sungai berkenaan.
“Operasi SJAM juga telah ditamatkan pada jam 10.30 pagi Rabu dan LRA Sungai Semenyih kembali kepada operasi normal dengan bekalan air mentah daripada Sungai Semenyih.
“Keadaan semasa di tapak dan aliran sungai adalah normal dan terkawal serta tiada risiko kepada operasi LRA,” katanya.
Bagaimanapun, LUAS memaklumkan pemantauan di kawasan sungai terbabit akan diteruskan termasuk semakan terhadap pelepasan daripada premis industri berhampiran bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
