Aliran masuk pelabur asing dalam ekuiti Malaysia pada Februari melonjak 2 kali ganda kepada RM1.32 bilion – Maybank IB

Business & Finance
4 Mar 2024 • 11:09 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Aliran masuk pelabur asing dalam ekuiti Malaysia pada Februari melonjak 2 kali ganda kepada RM1.32 bilion – Maybank IB

diyana

04/03/2024 - 11:09

KUALA LUMPUR 4 Mac - Aliran masuk pelabur asing dalam ekuiti Malaysia melonjak dua kali ganda kepada RM1.32 bilion pada Februari 2024 berbanding RM680 juta dalam Januari 2024, dengan pembelian bersih sebanyak 16 daripada 19 hari dagangan, menurut Maybank Investment Bank.

Firma penyelidikan itu berkata, ini merupakan aliran masuk asing bagi bulan keempat berturut-turut dan ia mencatat pembelian bersih RM2 bilion dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Pegangan saham asing dalam ekuiti tempatan meningkat lebih tinggi kepada 19.9% pada penghujung Februari berbanding 19.5% yang dicapai pada akhur 2023, ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

“Lima saham teratas yang dibeli oleh pelabur asing (mengikut nilai) pada Februari adalah Maybank, Sime Darby, YTL Corp, Tenaga Nasional Bhd dan YTL Power. Penjualan teratas mereka pula terdiri daripada Dialog, Gamuda, KL Kepong, Press Metal dan QL Resources,” katanya.

Sebaliknya, pelabur institusi tempatan merekodkan jualan bersih RM970 juta pada bulan dalam tinjauan daripada jualan bersih RM20 juta bulan sebelumnya, manakala pelabur runcit menjual RM350 juta berbanding RM660 juta sebelumnya.

“Aktiviti dagangan menjadi perlahan kepada RM2.95 bilion dalam purata nilai harian (ADV) ekuiti (Jan: RM3.35 bilion) berikutan perayaan Tahun Baharu Cina dengan pergerakan pelabur asing naik 10 mata peratusan bulan ke bulan kepada 38.9% (tanpa transaksi perniagaan langsung, ia pada 28.9%).

“Sementara itu, pergerakan pelabur institusi tempatan lebih rendah pada 41.8% (Januari: 44.7%) dan pelabur runcit tempatan menyusut kepada 19.4% (Januari: 26.3%),” tambahnya.

Dari segi pasaran ASEAN, Maybank IB berkata pelabur asing turut mencatat aliran masuk dalam ekuiti Indonesia, Filipina dan Thailand.

Di seluruh rantau ini, pembelian asing dalam ekuiti Malaysia pada Februari berjumlah AS$280 juta, berada di belakang ID (AS$650 juta) namun mendahului Filipina (AS$130 juta) dan Thailand (AS$80 juta) sementara jualan diteruskan dalam pasaran ekuiti Vietnam (AS$110 juta).

Sebaliknya, aliran keluar asing dalam bon Malaysia semakin melebar pada Januari dengan pengurangan RM5.1 bilion.

“Sejak mencapai paras tertinggi sepanjang masa sebanyak RM279.2 bilion pada Julai 2023, jumlah pegangan asing telah jatuh RM13.9 bilion kepada RM265.3 bilion setakat akhir Januari.

“Mengikut instrumen hutang, pegangan asing adalah 33.8% untuk Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) (Disember: 34.4%) dan 9.3% untuk Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) (Disember: 9.6%),” ujar firma itu. - DagangNews.com