Aliran projek kukuh daripada TNB kekalkan momentum positif sektor infrastruktur tenaga, kata HLIB

09/05/2025 - 09:41
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 9 Mei - Sektor infrastruktur tenaga diramal mengekalkan momentum positif disokong aliran projek yang kukuh daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB), kepesatan perkembangan pusat data dan pelancaran program solar berskala besar.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, suku-suku akan datang berkemungkinan menjadi titik perubahan bagi pemain industri, selepas suku pertama tahun yang kebiasaannya lebih perlahan.
“Kami menjangkakan musim pendapatan suku pertama yang bercampur dalam ruang infrastruktur tenaga, dengan perubahan suku ke suku yang dipengaruhi oleh masa pelaksanaan projek dan produktiviti yang secara bermusim lebih rendah.
“Pemeriksaan kami menunjukkan kontraktor mekanikal dan kejuruteraan (M&E) kehilangan lima hingga 15 hari bekerja disebabkan sambutan Tahun Baru Cina dan perayaan pra-Hari Raya,” katanya dalam satu nota kajian.
Walaupun terdapat gangguan jangka pendek, HLIB berkata, asas sektor itu kekal kukuh.
“Kami melihat kesan minimum daripada ketegangan perdagangan global ke atas pemain yang tertumpu dalam negara, dengan asas sektor ini disokong aliran projek kukuh daripada TNB, pusat data dan inisiatif solar,” katanya
Walaupun kontraktor M&E dijangka mencatatkan pendapatan suku tahunan yang lebih lemah, pengeluar kabel dijangka mencatatkan prestasi yang lebih baik.
“Pengeluar kabel dijangka mencatatkan keputusan yang stabil, disokong oleh gangguan pengeluaran yang lebih rendah dan penukaran baki pesanan yang stabil,” katanya.
Momentum tender daripada TNB kekal kukuh pada 2024, disokong komitmen perbelanjaan modal yang besar berjumlah RM42.8 bilion di bawah Tempoh Kawal Selia ke-4.
“Kontrak kabel voltan rendah 1+1 TNB yang baru dianugerahkan – yang kami anggarkan mempunyai nilai keseluruhan 67% lebih tinggi daripada 2022–2023 – menjadi petunjuk awal kepada aliran projek TNB yang kukuh untuk tahun-tahun akan datang,” kata HLIB.
MN Holdings Bhd, UUE Holdings Bhd dan Jati Tinggi Group Bhd telah berjaya meraih bahagian besar daripada projek-projek tersebut, manakala pengeluar kabel seperti Southern Cable Group Bhd, OSK Holdings Bhd dan Master Tech Group Bhd telah memperoleh pesanan berskala besar sehingga 280% berbanding kitaran sebelumnya.
Sementara itu, segmen pusat data yang berkembang pesat terus menawarkan peluang yang luas untuk kerja-kerja berkaitan infrastruktur.
“Pemeriksaan saluran menunjukkan tiada penarikan balik setakat ini daripada perjanjian bekalan elektrik 5.9GW yang ditandatangani oleh TNB untuk pengendali pusat data, mengukuhkan pandangan kami bahawa momentum infrastruktur tenaga yang didorong oleh pusat data kekal kukuh sehingga 2025,” kata HLIB. - DagangNews.com
featured standard


