Alkhair Malaysia kecam keganasan, pencabulan hak asasi di selatan Thailand

WorldPolitics
24 Jul 2026 • 9:48 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Alkhair Malaysia kecam keganasan, pencabulan hak asasi di selatan Thailand

PETALING JAYA – Alkhair Malaysia mengecam sekeras-kerasnya keganasan yang berlaku di selatan Thailand susulan kematian lima anggota renjer dalam serangan di sebuah pusat pemeriksaan di daerah Ra-ngae, Narathiwat.

Pertubuhan itu menegaskan, keganasan yang melibatkan nyawa manusia tidak boleh dijadikan jalan untuk mencapai sebarang matlamat politik, ideologi atau perjuangan.

Pada masa sama, Alkhair Malaysia turut melahirkan kebimbangan berhubung dakwaan penangkapan sewenang-wenangnya, penderaan dan pencabulan hak orang awam yang berterusan di tiga wilayah bergolak di selatan negara tersebut.

“Kami menegaskan bahawa keselamatan tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan hak asasi manusia. Sebarang tindakan terhadap orang awam mestilah berlandaskan undang-undang, prosedur yang telus dan prinsip keadilan.

“Sebarang bentuk penderaan, penyeksaan atau layanan tidak berperikemanusiaan terhadap tahanan dan orang awam tidak boleh diterima dan mesti dihentikan segera,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Alkhair Malaysia mendesak pihak berkuasa Thailand menjalankan siasatan bebas, telus dan menyeluruh terhadap semua insiden keganasan selain dakwaan mengenai pencabulan hak asasi manusia di wilayah berkenaan.

Pihaknya turut menuntut agar segala bentuk kekebalan terhadap pihak yang melakukan pelanggaran undang-undang dihentikan.

“Tiada mana-mana pihak termasuk pihak berkuasa boleh berada di atas undang-undang. Alkhair Malaysia percaya pendekatan bersenjata dan tindakan keras semata-mata tidak akan menyelesaikan konflik yang berlarutan sejak sekian lama.

“Sebaliknya, tindakan sedemikian hanya berpotensi mendalamkan trauma, kebencian dan kitaran keganasan dalam kalangan orang awam,” ujarnya.

Semalam Kosmo! melaporkan, lima anggota Pasukan Petugas Renjer Ke-45 terbunuh selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah pusat pemeriksaan di Bukit Sami, Mukim Tanyong Mas, Daerah Rangae pada Rabu lalu. – KOSMO! ONLINE

The post Alkhair Malaysia kecam keganasan, pencabulan hak asasi di selatan Thailand appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved