“Allah Saja Tahu Perasaan Kami Semua Saat Ini” – Adik Mohammad Azim

LocalFamily & Parenting
7 Jul 2025 • 4:10 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

“Allah saja tahu perasaan kami semua saat ini,” itu yang diungkapkan oleh adik kepada arwah Mohamad Azim Izat Ishak yang ditemui meninggal dunia dalam kereta tenggelam di Sungai Korok.

Selain Mohammad Azim, 32, isterinya, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta anak mereka Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, 6 bulan, turut meninggal dunia dalam kejadian itu.

Adliah Syuhada menerusi Facebook berterima kasih kepada orang ramai yang membantu mencari arwah abangnya sekeluarga selepas dilaporkan hilang pada Sabtu.

Dia juga memohon agar diberikan ruang untuk menghadapi saat yang sukar ketika ini.

“Mohon semua doakan dipermudahkan segalanya, Minta tolong semua sedekahkan Al-Fatihah buat abang saya sekeluarga.

“Sesiapa yang mengenali abang dan kakak maafkan mereka ya, jika mereka ada hutang apa-apa harap boleh berhubung dengan saya atau sesiapa saja dari ahli keluarga terdekat kami.

“InshaAllah syurga buat abang sekeluarga,” katanya.

Dalam kiriman itu juga, Adliah meminta agar orang ramai mendoakan anak sulung mangsa yang dikenali sebagai Qisya.

“Doakan anak sulung mereka, kakak Qisya diberikan kekuatan yang luar biasa, mama baba dan keluarga sentiasa ada di belakang kakak.

“Arwah mereka sekeluarga sangat-sangat baik dan rapat dengan saya, suami dan anak.

“Tak terungkap ketika ini, Allah saja mampu balas segalanya. Alhamdulillah syukur pengakhiran mereka terbaik,” ujarnya.

Lebih memilukan, Adliah juga berkongsi bahawa anak kembar Mohammad Azim dan Nurul Hidayah turut meninggal dunia pada 5 Februari lalu.

Menurutnya, jenazah enam sekeluarga itu akan dikebumikan di Jerlun dan majlis bacaan Yassin akan dibuat di rumahnya di Jitra pada malam ini.

“Terima kasih sekali lagi pada semua yang sentiasa mendoakan abang sekeluarga,” katanya.

Terdahulu Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kereta jatuh di dalam sungai pada 8.38 pagi.

“Dimaklumkan sebuah kereta jenis Proton Iswara Sedan berada di dalam sungai dan terdapat enam mangsa, iaitu seorang lelaki, seorang wanita, tiga kanak-kanak dan seorang bayi berada di dalam kenderaan itu.

“Proses pengecaman mangsa telah dijalankan oleh waris dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa selesai sepenuhnya pada 11 pagi tadi,” katanya.

View Original Article