ALLAH SWT tunjukkan keajaiban pada jasad Zara - Penggali kubur

LocalPolitics
22 Aug 2025 • 12:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pelbagai NGO, komuniti dan perseorangan hadir menyatakan sokongan terhadap solidariti ‘Justice for Zara’ di Dataran Medan Bandar.

image is not available
Suasana hiba mengiringi himpunan apabila lagu tema 'Justice for Zara' berkumandang di Medan Bandar.

image is not available
Orang ramai tidak berganjak bermula dari 6 petang hingga 11 malam untuk mengikuti himpunan aman ‘Justice for Zara’ di Dataran Medan Bandar.

ALOR SETAR - “Kami sudah bersedia berdepan keadaan jasad yang tidak sempurna atau rosak selepas 23 hari dikebumikan, namun kuasa ALLAH SWT tunjukkan keajaiban luar biasa. Jasad arwah Zara masih utuh, sempurna dan tidak berbau.”

Demikian perkongsian seorang penggali kubur, Nurashid Samat, yang terlibat secara langsung dalam penggalian semula pusara Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada 9 Ogos lalu di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol Lama, Sipitang, Sabah.

Perkongsian itu dizahirkan pada himpunan ‘Justice For Zara Qairina’ yang dihadiri lebih 6,000 orang di Dataran Medan Bandar, malam Khamis.

Menurut Nurashid, dia bersama beberapa rakan termasuk Ramlan Mansor dan Mohd Khairi Hadi diarahkan menggali semula kubur Zara Qairina bagi tujuan bedah siasat susulan arahan Jabatan Peguam Negara.

**media[3246276]**

“Kami sudah dimaklumkan oleh pihak forensik dan doktor mengenai keadaan jenazah selepas lebih tiga minggu dikebumikan. Segala kemungkinan sudah diberitahu, sama ada hanya tinggal tulang, isi dan kulit. Tetapi bila papan liang diangkat, jasad arwah masih utuh, kain kafan juga elok,” katanya.

Tambahnya, sepanjang proses itu tiada bau tidak menyenangkan, malah suasana dipenuhi rasa sebak dan keinsafan.

“Saya bersama ibu Zara menyaksikan sendiri suatu keajaiban di depan kubur arwah yang digali lima orang.

“Kami tidak mencium sebarang bau tidak menyenangkan. Saya harapkan keajaiban akan berulang seperti pada 17 Julai lalu, ketika jasad Zara diturunkan ke liang lahad yang menyaksikan wajah arwah begitu berseri-seri. Tidak sangka ia menjadi kenyataan,” katanya.

Sementara itu, Ramlan menyifatkan pengalaman menggali semula kubur Zara Qairina sebagai sesuatu yang luar biasa dan tidak akan dilupakan seumur hidup.

“Pertama kali gali, kawasan itu dipenuhi batu besar, tetapi kali kedua kerja penggalian jadi mudah. Hanya ada beberapa ketul batu kecil sebesar genggaman tangan. Bagi saya, itu satu keajaiban,” jelasnya.

Beliau turut mengakui jasad arwah kelihatan berseri-seri dan ada dalam kalangan yang hadir mendakwa terhidu bau harum sepanjang proses tersebut.

“Langsung tidak ada bau, itu pengalaman saya alami. Mungkin saya bukan orang terpilih yang terhidu bau harum tetapi ia diakui Timbalan Mufti Sabah yang mengalaminya,” katanya.

**media[3246278]**

Seorang lagi penggali, Mohd Khairi pula menceritakan bagaimana ibu Zara Qairina berkongsi amalan anaknya sepanjang hayat.

“Arwah sudah mula menutup aurat sejak berusia sembilan tahun dan menjaga solat dengan baik sejak itu. Malah dia sering mengingatkan rakan-rakannya dan juga ibunya sendiri tentang solat,” katanya.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia pada 17 Julai lalu di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya di Papar.

Jabatan Peguam Negara kemudian mengarahkan supaya kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.

Kes tersebut mencetuskan gelombang solidariti rakyat di seluruh negara, hingga ribuan orang menghadiri himpunan aman menuntut keadilan buat arwah dengan laungan “Justice For Zara Qairina”.

Lagi artikel berkaitan: