
PELAKON Ainina Ahmad B berkongsi luahan pilu selepas bertemu seorang kanak-kanak istimewa yang dikatakan mempunyai rupa fizikal hampir sama dengan anak bongsunya, Nur Ara Elisya yang telah kembali ke rahmatullah.
Menitipkan syukur, Ainina merasakan rindu terhadap kepada anaknya sedikit terubat selepas berpeluang untuk memeluk kanak-kanak itu biarpun dalam tempoh singkat.
"ALLAH Maha Baik, DIA tahu saya rindu nak peluk anak syurga saya. Tiba-tiba hadir bidadari syurga di depan mata. Ya ALLAH, memang seakan sama, terutama badannya.
"Saya senyum, lambai, cium dari jauh sahaja kemudian berlalu pergi. Disebabkan rasa tak puas usik dia, saya patah balik ke tempat tadi. Tapi tidak pergi dekat sebab segan dengan keluarga dia.
"Memang nak nangis ketika itu sebab saya dapat peluk dia macam mana peluk anak syurga saya. Terima kasih Ya ALLAH dan ibu kepada budak tersebut kerana izinkan. Lepas sedikit rindu pada anak syurgaku, Elisya," kongsinya.
Dalam hantaran yang sama, Ainina dilihat turut berkongsi foto kenangan bersama kanak-kanak berkenaan.
Sembilan bulan selepas pemergian Elisya, Ainina mengakui masih belum mampu menikmati makanan kegemaran Allahyarham kerana tidak sanggup menahan pilu teringat kenangan bersama.
"Tahun ini tahun pertama kami berpuasa berdua (bersama anak sulung). Nampak macam tidak ada apa-apa, tapi saya sibuk dengan kerja dan anak pertama pula ada kelas belajar. Ini baru ada masa nak berbuka luar bersama.
"Rasa lain seperti sedih semua ada. Kena kuatkan diri juga. Banyak perkara yang Elisya suka, macam makan bubur lambuk setiap kali puasa, tapi walaupun kami teringin, tak sanggup untuk beli.
"Sehari dua yang lepas ini memang rindu sangat dengan dia. Video-video dengan dia peneman saya waktu sahur," kongsinya lagi.
Untuk rekod, Elisya yang mengalami Sindrom Prader-Willi meninggal dunia pada 22 Jun 2025.
Allahyarham merupakan anak bongsu Ainina dengan penyanyi, Rahmad Mega.
