Alliance Bank jadi pilihan bagi kategori bank bermodal kecil, RHB Investment kekal saranan 'Beli'
herman
06/08/2024 - 09:46
KUALA LUMPUR 6 Ogos - Alliance Bank Malaysia Berhad mempunyai prospek pertumbuhan dan pinjaman yang kukuh manakala jangkaan kadar hasil dividen sehingga 7% bagi tahun kewangan 2025 (FY25) dilihat bagus lebih-lebih lagi untuk bank yang sedang berkembang pesat.
Sehubungan itu, RHB Investment Bank Research terus memilih Alliance Bank dalam kalangan bank-bank bermodal kecil memandangkan ia turut mempunyai penilaian menarik.
"Saranan 'Beli' dikekalkan, harga sasaran (TP) baharu mencecah RM4.80 daripada RM4.40 dengan potensi kenaikan harga saham 22%.
"Kami naikkan TP kepada RM4.80 selepas menganjakkan tahun asas penilaian ke 2025 dan memasukkan markah ESG lebih tinggi," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut RHB Investment, pertumbuhan pinjaman tahun ini (YTD) merentasi semua segmen dilihat mencecah paras yang baik, dan ia menjangka akan terus mencatat kadar pertumbuhan melepasi paras industri (8-10% YoY) pada FY25, meskipun pada rentak lebih perlahan berbanding 14% pada FY24 akibat persaingan pasaran pinjaman yang lebih sengit.
Katanya, dalam pertemuan dengan pengurusan Alliance Bank, mereka berharap untuk menguasai bahagian pasaran di wilayah selatan dari sektor pembuatan dan semikonduktor dengan Johor melibatkan syarikat rantai bekalan pusat data dan Sarawak penjanaan tenaga hijau.
"Namun begitu, ia masih belum menerima kemasukan pelaburan langsung asing dalam sistem perbankan dan permohonan pinjaman, walaupun syarikat kontraktor utama yang terlibat dalam projek prasarana tempatan sedang giat mendapatkan pembiayaan," jelasnya.
RHB Investment berkata, pihak pengurusan memaklumkan persaingan untuk pinjaman semakin sengit sekarang dan hal ini paling ketara sekali dilihat pada segmen gadai janji kediaman dan perusahaan kecil dan sederhana (SME).
"Tambahan lagi, kos deposit berdepan tekanan daripada bank-bank digital yang melaksanakan strategi pemerolehan pelanggan yang agresif. Sebagai langkah untuk mengatasi perkara ini, Alliance Bank akan mengurangkan tumpuan pada pertumbuhan deposit kerana ia masih mempunyai nisbah pinjaman berbanding simpanan yang baik iaitu 88.9% (FY23: 88.0%).
"Kumpulan ini juga akan mengurangkan penekananan pada gadai janji dan mengalihkan sebahagian dana kepada aset-aset perbendaharaan yang kurang menggunakan modal dan menawarkan peluang mengaut untung ketika potongan kadar faedah berlaku," ujarnya. - DagangNews.com


