Alliance Bank rangkul dua kategori di Anugerah Impak Positif ESG 2022

Business & Finance
7 Jul 2023 • 4:31 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Alliance Bank rangkul dua kategori di Anugerah Impak Positif ESG 2022

diyana

07/07/2023 - 16:31

KUALA LUMPUR 7 Julai - Usaha berterusan Alliance Bank dalam membantu perniagaan beralih kepada amalan perniagaan yang lebih mampan membuahkan hasil apabila ia merangkul dua kategori di Anugerah Impak Positif ESG 2022.

Dua inisiatif yang meraih pengiktirafan tersebut adalah Program Bantuan Kemampanan Alliance Bank dan kempen #SupportLokal yang masing-masing membawa pulang perak dalam kategori ‘Perkongsian Inovatif’ dan ‘Hubungan dengan Komuniti Tempatan’.

Bank itu berkata dalam satu kenyataan media hari ini bahawa anugerah tersebut mengiktiraf usahanya menyokong perniagaan beralih kepada amalan lebih mampan, serta membuktikan strategi dan cita-cita Alliance Bank Acceler8 2027 untuk menjadi organisasi yang berfokuskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata bank itu memainkan peranan dengan menumpukan kepada membantu perniagaan untuk berjaya, di mana mereka memahami bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sentiasa menyasarkan pengembangan dan memperoleh peluang.

“Walaupun kesedaran dan penggunaan elemen ESG masih di peringkat permulaan, laporan tinjauan kami, ‘ESG Insights from Malaysian SMEs: Building A Better Future Together’, mendapati hampir 60% daripada PKS yang belum menerima pakai amalan ESG telah menyatakan minat untuk menggabungkan amalan tersebut untuk faedah perniagaan.

“Malah, kira-kira 40% pengguna ESG melaporkan keuntungan yang lebih baik dan penjimatan kos keseluruhan, selepas pelaksanaan,” ujar beliau.

Dengan Program Bantuan Kemampanan, Alliance Bank berkata ia menyasarkan untuk membantu PKS meningkatkan daya saing dan daya tahan mereka melalui pendekatan berasaskan Advokasi, Nasihat dan Jawapan (3A's) yang didayakan oleh rakan kongsi yang berfikiran serupa seperti Bursa Malaysia Berhad, Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia dan Rangkaian Padat Global PBB Malaysia & Brunei (UNGCMYB).

Pada tahun pertamanya, program itu telah menyediakan lebih RM170 juta dalam pembiayaan untuk perniagaan serta penyelesaian hijau melalui rakan kongsinya dalam bidang seperti tenaga solar, kecekapan tenaga, bio-bahan api, serta pengurusan sisa dan air, antara lain.

Sementara itu, platform #SupportLokal telah membantu perniagaan kecil untuk mendigitalkan perniagaan mereka, memanfaatkan e-dagang dan mendapatkan sokongan pemasaran dan keterlihatan untuk jenama mereka.

Menurut Aliiance Bank, kempen #SupportLokal telah menjana lebih 24 juta capaian digital untuk perniagaan ini setakat ini dan kejayaan inisiatif ini mendorong ratusan syarikat B2B melanggan Alliance Bank BizSmart® Solution, yang merupakan platform bagi membantu PKS mengembangkan rangkaian mereka dan mendapatkan rumusan yang relevan, membolehkan mereka mengembangkan lagi perniagaan.

Selepas pandemik, #SupportLokal meneruskan matlamatnya untuk meningkatkan kesedaran untuk PKS melalui pengaktifan akar umbi dan inisiatif pemasaran lain kepada komuniti tempatan. - DagangNews.com