Alliance Bank sasar pertumbuhan pinjaman hingga 10% pada TK2027

LocalBusiness & Finance
30 Jul 2026 • 7:27 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Alliance Bank sasar pertumbuhan pinjaman hingga 10% pada TK2027

KUALA LUMPUR: Alliance Bank Malaysia Bhd. (Alliance Bank) menyasarkan pertumbuhan pinjaman antara 7.5 hingga 10.0 peratus bagi tahun kewangan 2027 meskipun persekitaran ekonomi global dijangka terus mencabar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Kellee Kam berkata, sasaran itu turut merangkumi pertumbuhan bon tidak diberi penarafan, dengan bank memilih untuk memberikan julat unjuran yang lebih luas berikutan ketidaktentuan ekonomi semasa.

“Kami menjangkakan pertumbuhan pinjaman antara 7.5 hingga 10 peratus.

“Kali ini kami memberikan julat yang lebih luas kerana keadaan ekonomi sentiasa berubah,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-44 Alliance Bank bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.

Selain itu, Alliance Bank mengunjurkan margin bersih faedah berada dalam lingkungan 228 hingga 235 mata asas, kos kredit antara 27 hingga 32 mata asas, manakala pulangan atas ekuiti (ROE) disasarkan pada 10 hingga 10.5 peratus.

Mengulas unjuran kos kredit yang lebih rendah pada tahun kewangan 2027 berbanding 2026, Kellee Kam berkata, ia mencerminkan jangkaan terhadap persekitaran operasi yang lebih stabil serta peningkatan berterusan dalam kualiti aset.

“Kos kredit bagi tahun kewangan 2026 adalah sekitar 33.5 mata asas dengan kira-kira 4.8 mata asas daripada jumlah itu merupakan peruntukan awal yang dibuat secara berhemat bagi menghadapi risiko yang dijangka berlaku.

“Kami mengambil pendekatan lebih proaktif dengan membuat peruntukan lebih awal berbanding menunggu masalah benar-benar berlaku.

“Sekiranya keadaan ekonomi lebih baik daripada jangkaan, keperluan untuk membuat peruntukan tambahan juga dijangka berkurangan,” katanya.

Sementara itu, Alliance Bank menjangkakan pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2027 berada dalam lingkungan 40 hingga 50 peratus, bergantung kepada prestasi kewangan sepanjang tahun.

Mengulas prospek perniagaan, Kellee berkata, bank kekal optimis terhadap pertumbuhan walaupun pemegang saham membangkitkan kebimbangan mengenai keadaan makroekonomi, margin serta aliran perniagaan.

“Kami masih menjangkakan perniagaan akan terus berkembang dengan baik dan mampu memberikan keputusan yang memuaskan.

“Pertumbuhan pinjaman dijangka disokong secara meluas oleh beberapa sektor termasuk elektrik dan elektronik (E&E), pembuatan, pembinaan, hartanah komersial serta pembiayaan perumahan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka berada di hujung atas unjuran kerajaan iaitu empat hingga lima peratus, disokong pertumbuhan yang meluas merentasi pelbagai sektor.

“Pertumbuhan itu didorong oleh sektor pelancongan, perkhidmatan, pembuatan serta minyak dan gas dengan petunjuk awal ekonomi menunjukkan prestasi yang masih kukuh.

“Dalam pada itu, kami juga menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan kekal pada 2.75 peratus sepanjang tahun berdasarkan perancangan dalaman bank,” katanya. –UTUSAN

The post Alliance Bank sasar pertumbuhan pinjaman hingga 10% pada TK2027 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved