Allianz Asia lancar Pusat Penghantaran Serantau di Kuala Lumpur
zulfadli
04/10/2023 - 16:19
KUALA LUMPUR 4 Okt - Allianz Asia Pacific (AZAP) melancarkan Pusat Penghantaran Serantau (RDC) yang berpangkalan di sini secara rasmi.
Dengan RDC, AZAP akan mengubah perkhidmatan dan keupayaan ITnya supaya menjadi model operasi terpiawai dan berindustri untuk menyampaikan perkhidmatan pelanggan yang berada dalam kelasnya yang tersendiri, mempercepatkan inovasi dan mengatasi prestasi persaingan.
Distrukturkan bersama dengan Allianz Technology SE (AzT), bahagian teknologi kumpulan yang bertanggungjawab untuk perkhidmatan data dan digital, AZAP kini akan menempatkan semua kecekapan bekalan IT di rantau ini untuk meningkatkan kecekapan operasi.
RDC memulakan operasi pada 4 Oktober dari Aras 17, Menara Allianz Sentral. Pusat itu akan menyediakan perkhidmatan IT kepada semua Entiti Operasi (OE) Allianz di Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Bhd, Sean Wang berkata, RDC merupakan sebuah perubahan penting untuk syarikat, yang mana adalah langkah besar dalam usaha mereka mencapai kecemerlangan teknologi.
"Pusat ini membolehkan kami menyatukan piawaian dan menambah baik penyampaian perkhidmatan IT bukan sahaja untuk Allianz Malaysia tetapi untuk semua entiti operasi di rantau Asia Tenggara," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong merasmikan RDC di sebuah majlis pelancaran secara maya yang diadakan di ibu negara.

Menurut Sean, Malaysia telah dipilih kerana lokasi geografi pusatnya di rantau ini, di samping mempunyai tenaga kerja yang berbakat dengan kemahiran yang tepat untuk menjayakan projek ini.
Katanya, hab IT serantau yang baharu ini dijangka akan mencipta dalam 500 peluang kerjaya berasaskan teknologi yang berkemahiran tinggi dan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia.

"Ini mencerminkan keyakinan Allianz dalam menjadikan Malaysia sebagai hab untuk inovasi dan kecemerlangan teknologi," katanya. - DagangNews.com




