
Tak kenal maka tak cinta. Hotel yang terletak di Pantai Tengah ini mungkin dianggap pilihan kedua bagi yang gemar berada di kawasan tumpuan pelancong. Tetapi bagi yang mahu lari dari kesesakan, Aloft Langkawi Pantai Tengah adalah pilihan berbaloi.
Ia adalah penginapan moden yang menawarkan ketenangan,namun masih dekat dengan tarikan utama pulau.
Terletak hanya 200 meter dari Pantai Tengah dan beberapa minit dari Pantai Cenang, hotel ini menampilkan rekaan kontemporaridengan gabungan warna-warna ceria.

Hotel ini yang memiliki 203 buah bilik dan suite menawarkan 75 peratus unit dengan pemandangan Laut Andaman. Setiap bilik dilengkapi balkoni luas, televisyen pintar 49-inci, Wi-Fi berkelajuan tinggi serta kemudahan Dry Bar® premium.

Untuk keluarga, program Camp Aloft membolehkan kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun menikmati pengalaman perkhemahan dalam bilik, lengkap dengan khemah mini dan snek alu-aluan. Pilihan bilik bertema seperti Dino, Ocean dan Rainforest turut disediakan dengan mural interaktif serta katil dua tingkat.
Kemudahan lain termasuk kolam renang infiniti menghadap laut, pusat kecergasan Re:charge serta rawatan spa melalui kerjasama dengan Alun Alun Spa Langkawi. Dari segi sajian, restoran Nook menyediakan hidangan tempatan dan antarabangsa dalam bentuk bufet atau à la carte.
Selain menginap, tetamu berpeluang meneroka tarikan berdekatan seperti Underwater World Langkawi yang sesuai untuk seisi keluarga, Langkawi Sky Bridge dan kereta kabel untuk pemandangan panoramik, serta pasar malam tempatan bagi merasai makanan jalanan dan membeli cenderamata.

Pantai Cenang pula terkenal dengan pilihan hiburan malam dan aktiviti sukan air.
Dengan lokasi strategik dan pelbagai kemudahan, Aloft Langkawi Pantai Tengah dilihat sebagai pilihan penginapan yang sesuai untuk keluarga, pasangan mahupun pelancong solo.
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web rasmi, Aloft Langkawi Pantai Tengah atau menghubungi talian 04-952 5252. - Getaran, 10 September 2025



