Pelakon dan pelawak terkenal, Along Cham, atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 41, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berkaitan pemilikan dadah jenis kanabis di Mahkamah Sesyen dan Majistret Sepang pada Jumaat.
Dalam prosiding di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman, Along Cham didakwa memiliki 58.23 gram dadah jenis kanabis di sebuah rumah di Cyberjaya pada jam 3.10 petang, 14 Disember lalu. Kes ini dikendalikan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin, tidak mencadangkan ikat jamin atas sebab seriusnya kesalahan tersebut. Hakim kemudian memutuskan tiada ikat jamin dibenarkan dan menetapkan tarikh 27 Januari 2025 untuk prosiding serahan laporan kimia.
Dalam prosiding tersebut, Along Cham merayu untuk diberikan ikat jamin dengan alasan tanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anaknya yang bersekolah.
“Tolonglah, saya merayu dilepaskan dengan jaminan. Saya ada anak nak sekolah,” katanya dalam nada sebak.
Bagaimanapun, Hakim menegaskan bahawa kes ini tidak layak untuk jaminan mengikut peruntukan undang-undang.
“Kes ini tidak boleh dijamin. Jika peruntukan undang-undang menyatakan boleh dijamin, bolehlah saya pertimbangkan,” balas Hakim.
“Saya sepatutnya direman selama empat hari, tapi saya hanya dimaklumkan akan didakwa hari ini. Jadi agak kelam-kabut,” ujar Along dalam nada kecewa ketika prosiding berlangsung.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Along turut didakwa memiliki 2.07 gram dadah kanabis di lokasi dan masa yang sama. Bagi pertuduhan ini, Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan membenarkan ikat jamin sebanyak RM2,500 dan menetapkan prosiding serahan laporan kimia pada 28 Februari 2025.
Polis sebelum ini melaporkan penemuan dua peket plastik berisi daun kering disyaki ganja dengan berat keseluruhan 60.3 gram di kediaman Along di Cyberjaya, bersama keputusan ujian positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC).
Isteri Along, Afreena Suhaimi, turut hadir di mahkamah dan menyatakan akan terus memperjuangkan keadilan untuk suaminya.
Sumber: Sinar Harian
The post Along Cham mengaku tidak bersalah miliki 58.3 gram kanabis, rayu dilepaskan dengan jaminan appeared first on The Reporter.

