
KUALA LUMPUR 8 Dis – Alpha IVF Group Bhd memulakan pembinaan pusat persenyawaan in-vitro (IVF) penuh pertamanya di Zon Ekonomi Khas (SEZ) Sanur, Bali, menandakan langkah pengembangan terbesar kumpulan itu ke pasaran kesuburan Indonesia yang berkembang pesat.
Projek itu dibangunkan menerusi usaha sama 75:25 dengan PT Delemont Global Venture di bawah PT Alpha IVF Dan SPOG Bali, melibatkan pelaburan keseluruhan RM26.4 juta dalam tempoh tiga tahun, dengan komitmen pelaburan Alpha IVF sebanyak RM19.8 juta.
Pusat IVF Bali itu merangkumi keluasan 2,147 meter persegi dan disasarkan mula beroperasi pada awal 2027.
Menurut kumpulan itu, pusat berkenaan akan mempunyai kapasiti tahunan sebanyak 1,500 pengambilan oosit serta beroperasi menggunakan model klinikal proprietari ‘System of Systems’ yang digunakan di seluruh rangkaian Alpha IVF.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Dr Colin Lee berkata pusat IVF di Bali itu merupakan tonggak utama strategi Alpha IVF di Indonesia.
“Pusat IVF Bali seluas 2,147 meter persegi ini menjadi teras kepada strategi Indonesia kami dengan integrasi bersama rangkaian klinik satelit di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kemudahan itu akan menawarkan perkhidmatan kesuburan menyeluruh, teknologi reproduktif termaju, program kesihatan wanita serta pembedahan laparoskopi dan ginekologi.
Dr Colin berkata, Indonesia merupakan sumber pesakit antarabangsa terbesar Alpha IVF, dengan permintaan yang terus meningkat berikutan kesedaran, kebolehcapaian dan rawatan rentas sempadan yang semakin rancak.
“Selama ini pesakit dari Indonesia bergantung kepada perkhidmatan kami di luar negara. Dengan pembukaan pusat di Bali, syarikat dapat memenuhi permintaan dengan lebih cekap serta membawa rawatan lebih hampir kepada pesakit,” katanya.
Menurut beliau, penubuhan pusat itu juga akan mewujudkan peluang pekerjaan perubatan dan bukan perubatan, selain membantu meningkatkan kepakaran tempatan dalam bidang perubatan reproduktif dan embriologi.
Dr Colin berkata penubuhan SEZ Sanur telah membuka laluan strategik kepada Alpha IVF untuk berkembang di Indonesia.
“Penubuhan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Sanur telah membuka jalan untuk syarikat mengembangkan operasi ke Indonesia,” katanya.
Beliau turut menjangkakan pusat IVF Bali itu akan menjadi pemangkin kepada pengembangan kapasiti, kepelbagaian pendapatan serta pertumbuhan hasil pelancongan perubatan, didorong aliran pesakit dari Indonesia, China, Singapura, Australia dan pasaran antarabangsa lain. - DagangNews.com
