Alumni bantah cadangan tutup Kampus UiTM Tawau

1 Nov 2026 • 10:06 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Alumni bantah cadangan tutup Kampus UiTM Tawau

Kota Kinabalu: Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah membantah sebarang cadangan menutup Kampus UiTM Cawangan Sabah di Tawau kerana tindakan itu dikhuatiri menjejaskan peluang pendidikan tinggi masyarakat Bumiputera, khususnya di Pantai Timur Sabah.

Presidennya, Azhar Matussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai cadangan menutup kampus berkenaan dan menyatukan operasinya di kampus induk UiTM di Kota Kinabalu.

Beliau berkata, UiTM Tawau yang beroperasi sejak 1996, terus memainkan peranan penting dalam menyediakan akses kepada pendidikan tinggi bagi penduduk Tawau, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan kawasan sekitarnya.

“Penutupan Kampus Tawau bermakna pelajar dari Pantai Timur Sabah terpaksa kembali ke tempat lain untuk melanjutkan pengajian. Ini satu langkah ke belakang,” katanya di sini, Sabtu.

Azhar berkata, UiTM Tawau yang pada awalnya beroperasi di sebuah rumah kedai sebelum berpindah ke kampus tetap pada 2006, telah menyediakan peluang kepada ramai pelajar Bumiputera untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, program pra-diploma yang ditawarkan turut memberi peluang kedua kepada pelajar yang gagal mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan sama ada kampus induk UiTM Sabah di Kota Kinabalu mampu menampung pertambahan jumlah pelajar sekiranya Kampus Tawau ditutup.

Menurutnya, kemudahan akademik dan asrama di kampus induk itu sudah berdepan kekangan kapasiti, sekali gus menyukarkan pelajar dari Pantai Timur Sabah mendapatkan tempat.

Dalam pada itu, Azhar menegaskan bahawa persatuan berkenaan tidak menentang cadangan penubuhan politeknik di Tawau, malah menyokong usaha memperluas kemudahan pendidikan tinggi di daerah itu.

Bagaimanapun, katanya, penubuhan institusi baharu tidak seharusnya mengorbankan Kampus UiTM Tawau kerana kedua-dua institusi mempunyai peranan dan matlamat pendidikan yang berbeza.

“Persatuan telah mengemukakan surat rasmi kepada Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun pada 24 Ogos lepas, bagi memohon supaya sebarang cadangan menutup kampus atau mengurangkan operasinya dikaji semula secara menyeluruh.

“Tanah yang diperuntukkan untuk UiTM Tawau perlu dikekalkan bagi tujuan pendidikan kerana ia merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan Bumiputera Sabah.

“Mempertahankan kampus ini bukan sekadar soal tanah, tetapi berkaitan peluang pendidikan Bumiputera dan masa depan pendidikan tinggi di Pantai Timur Sabah,” katanya.

Azhar berkata, UiTM Tawau juga berpotensi dibangunkan sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang agribisnes dan keusahawanan pertanian, sejajar dengan kekuatan sektor pertanian dan perladangan di Pantai Timur Sabah.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Sabah, Kementerian Pendidikan Tinggi dan pengurusan UiTM supaya mengekalkan serta memperkukuh peranan Kampus Tawau.

Beliau berkata, Persatuan Alumni UiTM Sabah turut bersedia bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan institusi itu terus menyediakan peluang pendidikan tinggi kepada masyarakat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved