Alumni Kolej Sri Lanka adakan pertemuan semula di Labuan

15 Sep 2022 • 4:08 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

LABUAN: Seramai 33 alumni St John’s College di Jafna, Sri Lanka memilih Labuan sebagai destinasi ketiga bagi meraikan pertemuan semula mereka selama lima hari bermula 12 hingga 16 Sept.

Jurucakap kumpulan bekas pelajar itu Prakash Gunasingam berkata pulau bebas cukai ini dipilih selepas India dan Bali, Indonesia kerana mempunyai persamaan dengan Sri Lanka iaitu cuaca dan budayanya.

“Setiap lima tahun kami cuba untuk berkumpul semula, kami bermula pada 2011 di India, 2016 di Bali dan tahun ini di Labuan. Kami tidak pernah ke sini jadi kami teruja apabila sampai ke pulau ini,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini semalam.

Prakash berkata kesemua mereka yang berumur 50-an telah berhijrah ke pelbagai negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Kuwait, Perancis dan Australia.

Selain disambut mesra dengan persembahan tarian tradisional Labuan dan Sabah di sebuah hotel di sini, alumni itu turut berkunjung ke beberapa kawasan bersejarah dan ikonik di Labuan seperti Tugu Peringatan Perang Dunia Kedua dan Pulau Rusukan.

Prakash berkata Labuan disyorkan oleh sepupunya yang juga warga Malaysia V.R. Harindran.-Bernama