Alumni UPM sumbang komputer riba bernilai lebih RM25,000 kepada 10 pelajar kurang berkemampuan
zulfadli
13/02/2024 - 16:43
KUALA LUMPUR 13 Feb - Seramai 10 penerima daripada golongan kurang berkemampuan menerima sumbangan komputer riba berjumlah RM25,578 daripada alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui projek Putra Cakna Alumni Care: Heart to Heart (H2H), baru-baru ini.
Pusat Perhubungan Alumni UPM memaklumkan, golongan tersebut terdiri daripada anak yatim, fakir miskin, B40 dan pelajar yang mempunyai kes kecurian komputer riba.
Sejak Ogos 2021 katanya, agihan sumbangan peranti komputer riba itu dilaksanakan secara berperingkat mengikut kutipan sumbangan alumni dari masa ke semasa serta pelaksanaan program alumni UPM.
Katanya, ia menjadikan jumlah penerima sumbangan komputer riba kempen H2H secara keseluruhannya adalah seramai 41 orang.
"Fokus utama kempen adalah untuk membantu pelajar UPM dalam kalangan B40 yang memerlukan komputer riba dan pelan data sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan menyasarkan barisan alumni yang ingin menaja serta melaksanakan kutipan sumbangan melalui program H2H.
"Antara objektif kempen ini dijalankan adalah untuk melestarikan bidang pendidikan sebagai hub untuk individu menyumbang semula kepada alma mater. Selain itu, kempen H2H ini juga membantu dan memudahkan para pelajar untuk fokus dalam pembelajaran di samping meningkatkan kesedaran awam terutamanya warga UPM untuk berilmu dan berbakti," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.


Turut hadir dalam majlis itu, Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Fahmi Azar Mistar.
Menurut kenyataan itu, permohonan akhir dibuka kepada para pelajar dari 1 hingga 15 November tahun lepas dan mendapat respon dari 567 pemohon sebelum melalui proses saringan untuk memilih pelajar yang betul-betul layak menerima bantuan ini.


"Keprihatinan yang ditunjukkan serta sumbangan yang diberikan oleh alumni UPM merupakan sesuatu yang perlu dicontohi khususnya pelajar UPM agar sentiasa menghargai dan mengingati jasa universiti walaupun setelah bergelar alumni sesuai dengan slogan paraalumni 'Daripada Alumni Kepada UPM'," katanya. - DagangNews.com
