
DI sebalik gemerlap dunia hiburan yang sering mencuri perhatian, siapa sangka seorang bintang muda mampu mengimbangi dua dunia berbeza dengan cukup cemerlang.
Itulah yang dibuktikan oleh Alyssa Dezek apabila kejayaan akademiknya menjadi bukti bahawa populariti bukan alasan untuk mengabaikan pelajaran.
Pada usia 18 tahun, Alyssa mencipta momen membanggakan apabila meraih keputusan ‘straight A’ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan hari ini.

Lebih istimewa lagi, pencapaian itu hadir di tengah jadual seninya yang padat, sekali gus mengangkat namanya sebagai ikon remaja yang bukan sekadar berbakat, tetapi juga berdisiplin.
Bagi Alyssa, kejayaan ini bukan datang bergolek. Di sebalik senyuman di pentas, ada usaha senyap yang konsisten, termasuk komitmennya terhadap pembelajaran digital yang lebih tersusun.
“Saya sangat bersyukur dengan keputusan ini. Sejujurnya, perjalanan ini bukan mudah kerana saya perlu membahagikan masa antara kerjaya dan pelajaran.

"Tapi saya percaya, kalau kita ada disiplin dan sistem pembelajaran yang betul, insya-ALLAH kita boleh capai apa yang kita impikan,” katanya jujur berkongsi.
Sebagai Ikon PTTI, Alyssa mengakui platform pembelajaran itu memainkan peranan besar dalam membantu dirinya kekal fokus.
Sepanjang tempoh persediaan SPM, dia mengikuti kelas dalam talian bagi kesemua sembilan subjek, sesuatu yang bukan mudah untuk dilaksanakan tanpa kesungguhan tinggi.
“PTTI banyak membantu saya kekal fokus, terutamanya dengan kelas yang fleksibel dan teknik pembelajaran yang mudah faham.

"Saya memang ikut semua kelas untuk sembilan subjek, dan itu antara kunci utama saya dapat ‘straight’ A,” tambahnya lagi.
Sokongan daripada keluarga, guru-guru serta pasukan yang sentiasa berada di belakangnya turut menjadi tulang belakang kepada kejayaan tersebut.
kini, Alyssa Dezek bukan sahaja dikenali sebagai penyanyi muda berbakat, tetapi juga simbol inspirasi kepada generasi remaja Malaysia, bahawa impian dalam akademik dan kerjaya boleh digapai serentak, asalkan usaha tidak pernah kenal erti lelah.

