Amal tabayyun, kekal berhemah - Menteri Agama

LocalPolitics
9 Apr 2026 • 1:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
ZULKIFLI

SHAH ALAM – Masyarakat perlu mengamalkan prinsip tabayyun dengan menyemak kesahihan maklumat serta kekal berhemah dalam berdepan isu krisis tenaga global yang semakin kompleks ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, penyebaran maklumat tidak sahih hanya akan mencetuskan kekeliruan, panik dan ketegangan dalam kalangan orang ramai.

Malah menurutnya, meskipun dunia sedang bergelut dengan pelbagai cabaran termasuk konflik di Asia Barat, Malaysia masih berada dalam keadaan stabil dengan bekalan keperluan asas yang mencukupi.

"Dalam suasana dunia sedang bergelut, kita masih cukup bekalan (seperti) ayam, telur, beras, minyak masak dan tepung, malah terdapat lambakan sayur di pasaran.

"Raya pun meriah, rumah terbuka penuh, jalan tetap sesak. Ini realiti kita hari ini.

"Minyak, petrol, diesel, gas masih ada. Alhamdulillah, subsidi kerajaan masih tanggung besar-besaran, berbilion ringgit supaya rakyat tidak terbeban dan kebajikan kita semua terpelihara," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Menurut Zulkifli, di sebalik usaha berterusan kerajaan menstabilkan keadaan, masih terdapat pihak yang menyebarkan berita tidak tepat serta memanipulasi isu sehingga menimbulkan keresahan awam.

Beliau menegaskan, isu krisis tenaga global ini bukan perkara kecil, ia benar-benar berlaku dan memerlukan pendekatan matang daripada semua pihak.

"Saya menyeru seluruh rakyat mengamalkan prinsip tabayyun dengan menyemak fakta, memastikan kesahihan maklumat serta merujuk sumber berkelayakan khususnya berkaitan krisis tenaga global.

"Dalam masa sama jadi lebih berhemah, guna tenaga secara bijak, elak pembaziran sebab berjimat itu bukan sekadar pilihan tetapi tanggungjawab," ujarnya.

View Original Article