Amalan Kampung Ubai bercanggah syarak

1 Oct 2026 • 8:04 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Amalan Kampung Ubai bercanggah syarak

PEKAN: Beberapa amalan sebilangan penduduk di Kampung Ubai, di sini dan kawasan sekitarnya didapati bercanggah dengan ajaran Islam daripada aspek akidah, syariah, adab serta akhlak.

Perkara itu diputuskan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang dalam mesyuarat yang bersidang pada 27 dan 28 April lalu selepas penelitian dan kajian dilakukan pengkaji Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Antara amalan yang disentuh adalah kepercayaan atau niat tertentu ketika penyembelihan ayam sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan, doa menyam­paikan roh haiwan kepada si ma­ti, amalan menolak bala dengan mencagar cincin serta amalan menyusup di bawah keranda dan mencampakkan wang syiling ketika jenazah diusung.

Keputusan itu turut menyentuh beberapa amalan berkaitan pengurusan jenazah dan ibadah termasuk melewatkan pengurusan jenazah, mewajibkan majlis tahlil dan kenduri arwah mengikut bilangan hari tertentu, kutipan yang disebut sebagai ‘zakat kenderaan’ serta amalan menggabungkan qada solat Subuh dengan solat sunat hari raya dan solat hajat.

Mufti Pahang, Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, keputusan itu dibuat selepas penelitian yang dijalankan da­lam tempoh tertentu, selain menyediakan panduan kepada masyarakat mengenai perkara yang perlu diperbetulkan daripada aspek akidah, syariah dan akhlak.

Katanya, penjelasan itu pen­ting supaya masyarakat dapat mengenal pasti perkara yang bercanggah dan memperbetulkan amalan berdasarkan panduan hukum syarak.

“Daripada sudut akidah, kami sudah kenal pasti perkara yang perlu diperbetulkan, begitu juga dari aspek syariah dan perso­alan berkaitan akhlak. Perkara ini te­lah dikaji oleh pengkaji Jabatan Agama Islam Pahang sebelum diputuskan, dan keputusan ber­kenaan turut dipaparkan dalam laman sesawang Jabatan Mufti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Asmadi berkata, masih terdapat penduduk yang mengamalkan sebahagian perkara ber­kenaan justeru penerangan akan diberikan secara berterusan.

“Ada kemungkinan sesete­ngah perkara itu berlaku di­sebabkan kejahilan. Sebab itu kita perlu berdepan dengan masyarakat dan menyampaikan ilmu pengetahuan yang betul supaya perkara ini dapat diselesaikan,” katanya,

Sementara itu, Timbalan Pe­ngarah JAIP, Datuk Abdul Zaki Md. Zain berkata, pihaknya sudah melaksanakan beberapa program kepada masyarakat di kawasan berkenaan termasuk forum dan ceramah bagi memberi penerangan berkaitan isu terbabit.-UTUSAN.

The post Amalan Kampung Ubai bercanggah syarak appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved