Amalan kesederhanaan bukan isu di Sabah: Salleh

LocalPolitics
18 Mar 2023 • 11:09 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Perbezaan agama dan latar belakang kaum tidak sama sekali menjadi penghalang kepada rakyat Sabah untuk bersatu dan hidup harmoni.

Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata rumah ibadat berlainan agama yang terletak berdekatan antara satu sama lain menunjukkan tahap toleransi yang tinggi dalam kalangan pelbagai kaum dan agama di Sabah.

“Malah, jangan terkejut jika terserempak dengan orang Islam yang mengunjungi majlis perkahwinan Kristian yang diadakan di gereja,” katanya dalam catatan Facebook terbarunya, Jumaat.

Salleh yang juga Adun Usukan berkata amalan kesederhanaan bukanlah satu isu di Sabah yang mempunyai lebih 30 etnik terdiri daripada agama berbeza.

“Semangat kekitaan dan budaya saling hormat-menghormati adalah antara kunci kejayaan Sabah dalam mengekalkan perpaduan dan kesederhanaan kaum. Sebab itu rakyat Sabah boleh hidup aman dan harmoni,” katanya.

Sehubungan itu, Salleh menggesa rakyat di negeri ini supaya mengamalkan budaya dan amalan kesederhanaan dan tidak mudah terpengaruh dengan dakyah melampau.

Kenyataan Salleh itu dibuat selepas Ahli Parlimen Kuala Langat Ahmad Yunus Hairi, ketika membahaskan rang undang-undang bekalan pada Khamis, menggesa Kerajaan supaya tidak membina rumah ibadat bukan Islam di kawasan yang sama dengan masjid kerana sensitiviti.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.