
KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) bersama barisan kepimpinan Pakatan Harapan dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia membuat laporan polis terhadap beberapa ahli politik berhubung kenyataan berbaur hasutan mereka yang boleh mencetuskan kebencian dalam masyarakat.
Pengarah Mobilisasi Amanah, Mohd Sany Hamzan (gambar) berkata pihaknya telah membuat empat laporan berasingan terhadap beberapa ahli politik berkenaan susulan kenyataan mereka yang juga boleh mencetuskan kebencian terhadap Pakatan Harapan.
“Saya minta khususnya rakyat Malaysia, kita tolak politik perkauman, politik kebencian, politik agama, politik mengadu domba ini.
“Kita mahukan parti-parti politik di negara ini mempunyai sifat integriti dan rasa tanggungjawab, sifat berakademik dan kita harus tunjuk sikap itu kepada masyarakat,“ katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berkenaan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Sany yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat mencadangkan agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan peruntukan sebanyak RM500 bilion ketika pandemik Covid-19, dua tahun lalu.
Sebelum itu, pada Sabtu lepas Mohd Sany juga telah membuat laporan polis di sini dan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mengambil tindakan tegas dan segera terhadap individu yang memainkan doktrin agama dan isu perkauman dalam PRU15.-Bernama

