AMANAH Sifatkan Agak Aneh, PAS Sokong Najib Lebih Daripada UMNO

LocalPolitics
6 Jan 2025 • 11:16 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Susulan kontroversi perhimpunan solidariti terhadap Datuk Seri Najib Razak, Parti Amanah Negara (AMANAH) menyifatkan agak aneh apabila PAS tiba-tiba jadi penyokong tegar bekas Perdana Menteri itu berbanding parti UMNO sendiri.

Menurut laporan Buletin TV3, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad menyatakan bahawa ia merujuk kepada tindakan PAS yang meneruskan pendirian untuk mengadakan perhimpunan bagi Najib di Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini.

image is not available

Foto: Harian Metro

PAS Sokong Najib Lebih Daripada UMNO Sendiri

Sebelum ini, Istana Negara sendiri sudah mengeluarkan kenyataan selain polis melarang perhimpunan berkenaan.

“Malah UMNO sendiri akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong, namun PAS masih terus mahu meneruskannya. Kita rasa situasi ini agak aneh.

“Hakikatnya, Najib dibicarakan dan dijatuhkan hukuman pada zaman (pentadbiran) Perikatan Nasional (PN), iaitu semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri,” katanya.

image is not available

Foto: Malaysiakini

Bukan itu sahaja, semua pihak seharusnya akur dengan arahan dan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan tidak mencampuri urusan keadilan yang dilaksanakan agensi terbabit.

“Kita tidak boleh membuat protes setiap kali adanya perbicaraan dan tindakan itu mencampuri institusi penghakiman.

“Biarkan proses itu berjalan tanpa ada tekanan daripada mana-mana pihak,” ujarnya.

image is not available

Foto: MalaysiaGazette

Terdahulu, laluan masuk ke Istana Kehakiman telah dikawal ketat oleh anggota polis dan turut dibantu pengawal keselamatan yang bertugas susulan himpunan solidariti terhadap Najib berhubung persoalan ada atau tiada Titah Adendum yang akan diputuskan Mahkamah Rayuan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata perhimpunan tersebut tidak mendapat kebenaran pemilik tanah sekali gus tidak mematuhi syarat-syarat seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

Polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu menyertai perhimpunan tersebut kerana ia melanggar undang-undang sedia ada.

Sumber: Buletin TV3