
KUALA SELANGOR - Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Tanjong Karang membuat laporan polis terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung penulisannya yang didakwa berbaur provokasi dan fitnah terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dimuat naik di media sosial sejak Rabu.
Ketua Amanah Kawasan Tanjong Karang, Isa Ramli dan tiga lagi ahli parti itu membuat laporan di Balai Polis Tanjong Karang kira-kira jam 1.20 tengah hari.
Isa berkata, polis sewajarnya menyiasat Abdul Hadi yang mengeluarkan kenyataan menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Kita bimbang kenyataan seperti ini boleh menimbulkan suasana huru-hara yang boleh menyebabkan berlaku ketidakstabilan politik di negara ini," katanya ketika ditemui pada Khamis.
Menurut beliau, tindakan tegas perlu diambil berhubung kenyataan seperti itu kerana tuduhan tersebut serius.
"Unsur-unsur yang merosakkan keharmonian dalam masyarakat ini perlu dicegah lebih-lebih kenyataan ini memberi gambaran tidak baik kepada kerajaan yang ada pada hari ini," ujarnya.
Ketua Pemuda Amanah Kawasan Tanjong Karang, Mohd Shahrul Adib Misnani berkata, tuduhan jahat itu mampu mempengaruhi pemikiran anak muda terhadap kerajaan.
Jelasnya, kenyataan itu sangat berbahaya yang boleh menimbulkan perasaan tidak selesa dalam kalangan rakyat Malaysia yang mencintai keamanan.
"Kenyataan ini menggores hati semua umat Islam dan kita berharap kerajaan bertindak tegas bagi memastikan tiada pihak cuba membuat pelbagai tuduhan melampau," kata beliau.
Sebelum ini, penulisan Abdul Hadi bertajuk 'Cara orang munafik menentang Islam diikuti Israel dan PH' disiarkan di laman Facebook Pas pada Rabu.

