johardy12/11/2026 - 10:55 Oleh Mohamad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov - AmanahRaya Investment Management Sdn Bhd (ARIM) menghapus kira sepenuhnya nilai pegangan sukuk Zetrix AI Berhad kepada sifar dalam empat dana pelaburannya, susulan kegagalan syarikat teknologi itu menjelaskan bayaran sukuk wakalah berjumlah RM25.68 juta pada 6 November 2026.
Menurut memorandum terbaharu ARIM kepada pelabur, penghapusan kira 100% terhadap nilai sukuk yang sebelum ini diiktiraf itu berkuat kuasa 10 November selepas mendapat kelulusan pemegang amanah dana terjejas.
Keputusan itu menyusuli beberapa perkembangan yang menjejaskan kedudukan sukuk Zetrix AI, bermula dengan kejatuhan harga saham dan penjualan paksa saham yang dicagarkan oleh pemegang saham utamanya, Wong Thean Soon, kepada institusi kewangan.
Empat dana berkenaan ialah AmanahRaya Unit Trust Fund (ARUTF), AmanahRaya Syariah Trust Fund (ARSTF), AmanahRaya Mixed Asset Syariah Conservative Income Fund (ARMASCIF) dan AmanahRaya Syariah Income Fund (ARSIF).
Susulan pelarasan penilaian itu, nilai aset bersih (NAV) seunit ARUTF berada pada 66.86 sen, ARSTF sebanyak 66.11 sen, ARSIF pada 72.63 sen dan ARMASCIF sebanyak 94.08 sen setakat 10 November.

Menurut RAM Rating Services Berhad (RAM Ratings) dalam kenyataan bertarikh 26 Oktober 2026, dana dan mandat pelaburan di bawah pengurusan ARIM mempunyai pendedahan kepada sukuk Zetrix AI berjumlah RM527.25 juta setakat 30 September, mewakili 10.48% daripada keseluruhan aset di bawah pengurusannya sebanyak RM5.03 bilion.
Bagaimanapun, angka RM527.25 juta itu merupakan jumlah pendedahan yang dilaporkan sebelum ini dan bukan jumlah kerugian yang disahkan bagi empat dana terjejas.
"Kami memahami bahawa ini merupakan berita yang sukar diterima," menurut ARIM dalam memorandum kepada pelabur tersebut.
MARC turunkan penarafan sukuk kepada status mungkir
Langkah itu menyusuli kegagalan Zetrix AI menjelaskan bayaran sukuk wakalah berjumlah RM25.68 juta pada 6 November 2026.
Berikutan kemungkiran pembayaran tersebut, MARC Ratings Berhad menurunkan penarafan program sukuk bernilai RM2 bilion itu kepada status mungkir dan menamatkan liputan penarafannya terhadap Zetrix AI.
Menurut laporan itu, bayaran berkenaan masih tertunggak setakat 10 November tanpa sebarang penyelesaian yang dapat dipastikan, manakala Bond Pricing Agency Malaysia Sdn Bhd (BPAM) menghentikan penyediaan harga bagi sukuk tersebut pada tarikh yang sama.
Masalah sukuk Zetrix AI sebelum ini turut melibatkan pelanggaran syarat perjanjian berkaitan kedudukan Wong Thean Soon sebagai pemegang saham tunggal terbesar syarikat, susulan penjualan paksa saham yang dicagarkan kepada institusi kewangan.
ARIM bagaimanapun menegaskan bahawa penilaian sukuk kepada sifar tidak bermakna dana terjejas melepaskan hak untuk menuntut semula bayaran prinsipal dan keuntungan sukuk yang masih tertunggak.
Pengurus dana itu akan meneruskan usaha pemulihan melalui saluran yang tersedia, dengan sebarang jumlah yang berjaya diperoleh semula akan dimasukkan ke dalam NAV dana untuk manfaat pemegang unit pada masa penerimaan.
Namun, ARIM mengingatkan bahawa pemulihan pelaburan tersebut tidak dijamin, manakala jumlah kerugian muktamad masih belum dapat dipastikan. — DagangNews.com





