AmanahRaya REIT, Urban Collection bangunkan hotel baharu di bangunan bekas Holiday Villa Alor Setar

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2025 • 2:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AmanahRaya REIT, Urban Collection bangunkan hotel baharu di bangunan bekas Holiday Villa Alor Setar

image is not available

15/10/2025 - 14:32

Datuk Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli (dua dari kiri) dan CEO Urban Collection, Khoh Why Way (empat dari kiri) di majlis memeterai perjanjian tersebut Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Okt – AmanahRaya REIT memeterai perjanjian sewaan dengan Urban Collection Sdn. Bhd, anak syarikat Oriental Interest Berhad untuk menyewa dan menjadi operator bangunan yang sebelum ini beroperasi sebagai Holiday Villa Alor Setar, Kedah.

Bangunan setinggi 21 tingkat itu terletak di dalam kompleks City Plaza di bandaraya tersebut namun telah dibiarkan kosong sejak 2018.

Melalui kerja-kerja pengubahsuaian dan naik taraf yang bakal dilaksanakan, hotel tersebut akan diberi wajah baharu bagi meningkatkan daya saingnya dalam landskap perhotelan di Alor Setar.

AmanahRaya REIT dalam satu kenyataan berkata, perjanjian itu adalah satu pencapaian penting dalam strateginya untuk mengoptimumkan portfolio dengan memberi nafas baharu kepada salah satu hartanah mercu tandanya menerusi kerjasama jangka panjang bersama operator hotel yang berpengalaman.

“Berdasarkan perjanjian yang dimeterai, Urban Collection akan menyewa hotel berkeluasan 150,000 kaki persegi itu bagi tempoh 15 tahun (dibahagikan kepada tiga tempoh berturut-turut).

“Tempoh sewaan bermula pada 29 Mac 2026 dan operasi dijangka dimulakan pada 1 Mei 2026.

“Struktur perjanjian adalah sewaan ‘double net’ dengan kadar kenaikan sewa sebanyak 10% bagi setiap pembaharuan tempoh dalam usaha memastikan pertumbuhan pendapatan stabil untuk AmanahRaya REIT sepanjang tempoh sewaan,” katanya.

Urban Collection merancang memperkenalkan konsep moden dengan menggabungkan ruang kerja bersama, penginapan kontemporari serta tawaran runcit termasuk kemudahan lain seperti mesin layan diri bagi memenuhi keperluan pelancong masa kini.

image is not available
Holiday Villa Alor Setar ketika masih beroperasi sebelum tahun 2018

Pengarah Urusan AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn. Bhd. (AKRM), Datuk Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli berkata, perjanjian itu akan mengaktifkan semula salah satu aset utama dalam portfolio amanah pelaburan hartanah mereka.

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Urban Collection yang mempunyai rekod prestasi kukuh dalam pengurusan hotel dan perkhidmatan.

“Ia sejajar dengan visi kami untuk meningkatkan nilai aset dan kestabilan pendapatan jangka panjang kepada pemegang unit,” katanya.

AmanahRaya REIT yang ditubuhkan pada 10 Oktober 2006 memberi tumpuan kepada penyediaan portfolio pelaburan hartanah yang pelbagai kepada para pelabur.

Sehingga 31 Disember 2024, AmanahRaya REIT memiliki 12 aset hartanah dengan jumlah nilai pasaran RM1.297 bilion.

Ia termasuk pelbagai jenis hartanah seperti kompleks pejabat, institusi pendidikan, bangunan perindustrian, kompleks runcit dan hotel. - DagangNews.com

standard

View Original Article