Amanat Tahun Baharu 2026: Memperkukuh Kedaulatan Makanan, Membina Daya Tahan Negara

19 Jan 2026 • 10:16 AM MYT
Newswav PR
Newswav PR

Sponsored content from various brands & advertisers

Image from: Amanat Tahun Baharu 2026: Memperkukuh Kedaulatan Makanan, Membina Daya Tahan Negara
Foto oleh KPKM

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, hari ini menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 bertempat di Dewan Serbaguna Wisma Tani, Putrajaya, bertemakan “Memperkukuh Kedaulatan Makanan, Membina Daya Tahan Negara”, yang memberi penekanan terhadap usaha Kementerian dalam memperkukuh kedaulatan makanan sebagai asas utama dalam membina daya tahan nasional.

YB Menteri dalam ucapannya mencerminkan kemajuan signifikan yang dicapai oleh sektor pertanian negara sepanjang tahun 2025, hasil keberkesanan pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik oleh Kementerian. Sektor agromakanan negara telah merekodkan nilai tambah sebanyak RM145.35 bilion, sekali gus menyumbang 11.4 peratus kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara. Selain itu, bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025, jumlah perdagangan agromakanan negara telah berjaya mencatat nilai perdagangan luar negeri sebanyak RM126.31 bilion, dengan nilai eksport berjumlah RM48.74 bilion manakala import pula sebanyak RM77.57 bilion. Seiring dengan itu, imbangan perdagangan agromakanan negara menunjukkan prestasi yang semakin bertambah baik apabila jurang defisit berjaya dikecilkan kepada RM28.83 bilion berbanding RM33.14 bilion pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Antara kejayaan penting yang berjaya direkodkan KPKM pada tahun 2025 ialah:

  • Pembangunan Industri Padi: Program SMART SBB (Sawah Berskala Besar) mencatatkan penyertaan 18,650 pesawah di 92 lokasi dengan keluasan melebihi 46,500 hektar dan berjaya meningkatkan hasil padi kepada 6 hingga 7 tan metrik per hektar.
  • Pembangunan Industri Jagung Bijian: Menyasarkan pengeluaran jagung bijian tempatan sebanyak 1.25 juta tan metrik serta pengurangan kebergantungan import sehingga 30 peratus menjelang tahun 2040.
  • Industri Ruminan: 68 ladang satelit di tujuh negeri menyumbang kepada pengeluaran melebihi 45,000 ekor ternakan.
  • Sektor Perikanan: Peningkatan KDNK berjumlah RM9.18 bilion, dengan sumbangan RM6.05 bilion daripada perikanan tangkapan dan RM3.14 bilion daripada akuakultur.
  • Program Penanaman Bawang Berskala Besar: Melibatkan keluasan tanaman seluas 157 hektar, dengan pengeluaran melebihi 54 tan metrik, serta penyertaan 125 pengusaha tempatan.
  • Tanaman Nanas: Menjana pendapatan negara sekitar RM1 bilion melalui pengeksportan 1,735 kontena nanas segar dan produk nanas ke pasaran global serta peluasan kawasan bertanam sebanyak 18,922 hektar.
  • Memperkasa Penglibatan Anak Muda: Kelulusan bantuan geran di bawah Program Agropreneur Muda dengan nilai keseluruhan melebihi RM23 juta untuk 843 orang agropreneur muda.
  • Memperkasa Institut Latihan Pertanian: Peningkatan kadar kebolehpasaran graduan kepada 81.23% daripada 78.1% pada tahun 2024.
  • Penganjuran HPPNK: kehadiran 504,491 orang pengunjung dengan nilai jualan mencecah RM15.59 juta.
  • Program Jualan Agro MADANI : Sebanyak 3,738 program telah berjaya dianjurkan di seluruh negara, jauh melebihi sasaran asal sebanyak 3,500 program, dengan pencapaian sebanyak 106.8%.

Melangkah ke tahun baharu, Kementerian akan menerajui pendekatan Reverse Investment (Pelaburan Berbalik) untuk melindungi dan menjamin bekalan komoditi makanan kritikal negara yang memfokuskan kepada empat industri utama, iaitu ruminan (lembu), beras, susu, serta benih dan baka. Selain itu, Kementerian akan turut memberi penekanan kepada pemerkasaan pelaburan domestik sebagai pelengkap utama dalam meningkatkan kapasiti dan daya saing sektor agromakanan negara.

Selain itu, YB Menteri turut menyatakan empat (4) tumpuan utama KPKM bagi tahun 2026 iaitu:

  1. Pengukuhan Industri Padi – Meningkatkan pengeluaran padi dan beras negara secara mampan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import serta memperkukuh keterjaminan bekalan makanan.
  2. Pengukuhan Industri Ruminan – memastikan kecukupan bekalan daging lembu dan kerbau sebagai sumber protein utama rakyat dengan penyasaran peningkatan pengeluaran daging lembu dan kerbau kepada sekitar 50,000 tan metrik dan peningkatan Kadar Sara Diri (SSR) kepada 18 peratus.
  3. Pemantapan Ekosistem Industri Hiliran – Mengurangkan pembaziran makanan sebanyak lima peratus (5%) serta peningkatan produktiviti hasil melalui pemerkasaan Pusat Agrohub sebanyak sepuluh peratus (10%).
  4. Pengukuhan Infrastruktur Pertanian – Melaksanakan pendekatan 3M – Membina, Menaik Taraf dan Menyelenggara merangkumi semua subsektor termasuk padi, tanaman, ternakan dan perikanan.

Dalam menghadapi cabaran sektor pertanian dan agromakanan negara, YB Menteri menyeru semua pihak bergerak secara lebih strategik, berasaskan data dan berpaksikan kepentingan negara, agar setiap keputusan memberi impak yang nyata kepada pengeluar dan pengguna.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru seluruh warga kementerian agar terus menjunjung tinggi prinsip integriti, kejujuran dan kecekapan dalam menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti.

YB Menteri seterusnya merasmikan pelancaran Tanaman Padi (PaddyChat), salah satu projek rintis di bawah Program Pemacu Digital Industri Padi (DX Padi 2025) yang boleh dimanfaatkan secara meluas oleh para pesawah.

Majlis ini turut dihadiri YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan; YBhg. Datuk Seri Isham Ishak, Ketua Setiausaha KPKM dan Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian, jabatan dan agensi.


Dikeluarkan oleh: KEMENTERIAN PERTANIAN DAN KETERJAMINAN MAKANAN