MELAKA - Seorang anggota tentera dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Selasa selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual terhadap anak lelakinya dua tahun lalu.
Wanita berusia 44 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai hubungan amanah, iaitu ibu kandung, dengan sengaja telah melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia lapan tahun.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah beralamat di Taman Peruna, Sungai Udang, daerah Melaka Tengah di sini sekitar jam 10.30 malam pada Disember 2024.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.
Seksyen 14(a) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebatan, manakala di bawah Seksyen 16(1), penjara maksimum lima tahun dan hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang dua kali.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman penjara yang lebih singkat kerana perlu menyara ketiga-tiga anaknya selepas selesai menjalani hukuman.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap ibu tunggal itu.


