Amang seksual: Pemandu e-hailing kembali dijel 5 tahun, satu sebatan

8 Nov 2023 • 5:13 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Mahkamah Rayuan pada Selasa mengembalikan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan ke atas seorang pemandu e-hailing berusia 42 tahun kerana melakukan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, tiga tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Ravinthran N. Paramaguru membenarkan rayuan Marto Basinau selepas mendengar rayuannya dan hujah oleh pihak pendakwaan sebagai responden.

Marto membuat rayuan terhadap hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 18 Mac 2021 berikutan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan padanya setahun sebelumnya.

Marto pada 15 Julai 2020 dijatuhi hukuman oleh mahkamah rendah itu selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan terhadap terhadap pelajar sekolah menengah itu dengan meraba kemaluannya pada 5.15 pagi 7 Feb 2020 ketika remaja itu berada di dalam kenderaan Marto dalam perjalanan ke sekolahnya.

Kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebat, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding pada Selasa, mahkamah rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen untuk menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dari tarikh sabitan pada 15 Julai 2020 dengan satu sebatan.

Peguam Ian Cham yang mewakili Marto, antara lain berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dengan menganggap mangsa seorang perempuan dan bahawa Mahkamah Sesyen bertindak betul dalam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan.

Cham merayu agar hukuman oleh Mahkamah Sesyen dikembalikan semula.

Ravinthran, yang bersidang bersama Hakim Datuk Azimah Omar dan Datuk Lim Chong Fong, antara lain berpendapat bahawa sebab campur tangan Mahkamah Tinggi berhubung hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen, dibuat atas premis yang salah bahawa mangsa dalam kes itu adalah perempuan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.