Amang Seksual Sepupu: 2 Beradik Didakwa

LocalPolitics
8 Dec 2025 • 7:26 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Seorang nelayan dan adiknya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar, Johor hari ini selepas sepupu perempuan mereka tampil mendedahkan bahawa dia menjadi mangsa gangguan seksual dua beradik itu di sebuah stor lima tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, kini berusia 18 dan 25 tahun, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron. 

Difahamkan, abang sulung berdepan dua pertuduhan manakala adiknya berdepan tiga pertuduhan.

Menurut pertuduhan pertama hingga kelima, dua beradik yang bekerja sebagai nelayan itu didakwa melakukan perbuatan amang seksual terhadap sepupu mereka yang ketika kejadian berusia sembilan tahun.

Perbuatan keji tersebut didakwa dilakukan di sebuah stor dan sebuah bilik dalam sebuah rumah di Tangkak, antara hujung Mac hingga November hingga awal Disember 2020.

Dua beradik terbabit dituduh mengikut Seksyen 14(a) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKKSTKK), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.

Menurut laporan, mangsa dibawa ke stor berkenaan sebelum kedua-dua tertuduh mengarahkan mangsa melakukan perbuatan tidak senonoh. 

Mereka turut didakwa mengugut mangsa agar tidak mendedahkan kejadian terbabit kepada ibu bapanya.

Tidak tahan dengan tekanan, mangsa akhirnya menceritakan kejadian berkenaan sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Mati, Tangkak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameerah Allaudeen, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 terhadap abang dan RM9,000 terhadap adiknya, masing-masing dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya kedua-dua tertuduh melapor diri di balai polis terdekat serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 Februari bagi pelantikan peguam dan penyerahan dokumen. - Getaran, 8 Disember 2025