
SHAH ALAM – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan di negeri Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak, Sarawak, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur dan WP Putrajaya bermula hari ini sehingga Khamis.
MetMalaysia dalam kenyataan setakat jam 7.30 pagi memaklumkan, hujan berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di negeri Pahang melibatkan daerah Bera, Pekan dan Rompin, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Amaran hujan berterusan tahap buruk pula dijangka berlaku di beberapa daerah di Pahang antaranya Jerantut, Temerloh, Maran, Bentong dan Kuantan.
Seterusnya, tahap waspada melibatkan negeri Perak iaitu di daerah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim manakala, Pahang Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Raub.
Ia juga berlaku di WP Kuala Lumpur, WP Putrajaya dan beberapa daerah di Sarawak antaranya Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu.
Jelas MetMalaysia, amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya dikeluarkan apabila ia dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 mililiter (mm) dalam tempoh 24 jam.
“Bagi tahap buruk pula, amaran dikeluarkan apabila hujan berterusan dan dijangka melebihi 60mm dalam tempoh enam jam.
“Tahap waspada dikeluarkan apabila tanda-tanda menunjukkan jika hujan atau ribut petir sedang berlaku melebihi enam jam di sesuatu kawasan,” katanya.

