
Amaran Hujan Lebat Di Kebanyakan Negeri Malam Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di kebanyakan negeri sehingga jam 9 malam ini.
Menerusi kenyataan di Facebook, jabatan itu memaklumkan bahawa hujan lebat akan berlaku di seluruh negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Selain itu, keadaan cuaca tersebut juga melibatkan daerah Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan.
Manakala di Terengganu, hanya daerah Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman yang terlibat.
“Di Pahang, daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh dan Bera dijangka akan dilanda hujan lebat.
“Begitu juga dengan negeri Selangor iaitu di daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat,” kata MetMalaysia.
Sementara itu, Negeri Sembilan pula melibatkan daerah Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin.
BACA JUGA: Monsun Timur Laut Bermula 13 November Ini
Bagi negeri Johor, daerah Segamat, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru dijangka terlibat.
Beralih ke negeri Sarawak, hujan lebat diramal berlaku di kebanyakan kawasan iaitu di daerah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong (Pusa dan Betong), Sarikei (Pakan, Julau dan Meradong), Sibu, Kapit (Song), Bintulu dan Limbang.
Di Sabah, ia melibatkan daerah Pedalaman, Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Ranau), Tawau dan Sandakan (Tongod dan Telupid).
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” ujar MetMalaysia lagi.
Berikutan amaran cuaca ini, orang ramai yang berada di kawasan yang berisiko dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati.
Bagi yang dalam perjalanan dari tempat kerja, pandu kereta dan bawa motosikal dengan berhemah.
Sumber: Malaysian Meteorological Department
The post Amaran Hujan Lebat Di Kebanyakan Negeri Malam Ini appeared first on Siakap Keli.


